WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JKDM Perak Tumpas Aktiviti Seludup Bahan Makanan Kering Dari China

29/11/2024 09:33 PM

IPOH, 29 Nov (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan dagangan bahan makanan kering dari China anggaran bernilai RM73,800 di Terminal Kargo Ipoh, 4 Nov lepas.

Pengarahnya Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata Cawangan Import Eksport Bahagian Perkastaman JKDM Perak menahan sebuah kontena yang disyaki membawa 62 jenis makanan kering pelbagai jenama di kargo itu kira-kira 11 pagi.

"Pihak pengimport hanya mengikrar lima jenis barangan sahaja iaitu uncang teh, peket sup sayur, sayuran masin, perasa dan cendawan dalam Borang Kastam 1.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak kastam bersama Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mendapati terdapat 57 lagi bahan makanan lain yang tidak diikrarkan di dalam Borang Kastam 1," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Ghafar berkata pihaknya menahan seorang lelaki yang merupakan ejen syarikat dan kesemua barang dagangan yang dirampas itu diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Ipoh untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 133(1)(a) akta sama. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan