BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 WILAYAH - SELATAN > BERITA

KWAP Kenal Pasti Tanah Berpotensi Bina Rumah Pesara

30/11/2024 05:53 PM

JOHOR BAHRU, 30 Nov (Bernama) -- Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP sedang mengenal pasti tanah berpotensi dijadikan Pembangunan Tanah Wakaf, bagi membina rumah persaraan mandiri golongan pesara awam berpendapatan rendah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu akan dijalankan dengan kerjasama majlis Agama Islam setiap negeri, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Yayasan Wakaf Malaysia.

“KWAP telah menjalankan libat urus dengan pihak terlibat untuk meneroka dan mengenal pasti tanah-tanah yang berpotensi dijadikan pembangunan kediaman mandiri.

“Usaha ini membantu kerajaan mengoptimumkan penggunaan tanah wakaf sedia ada di seluruh negara,” katanya merasmikan Majlis Peluncuran Karnival MyPesara di pusat beli-belah Angsana Mall Johor Bahru di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Nik Amlizan Mohamed dan Ketua Pegawai Pelaburan KWAP Hazman Hilmi Sallahuddin.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan yakin kerjasama strategik agensi-agensi terlibat akan memastikan inisiatif itu berjaya dilaksana, sekali gus menyokong keterjaminan sosial dan ekonomi golongan warga emas. 

“Peranan utama KWAP lebih daripada menguruskan pembayaran pencen pesara kerajaan tetapi turut memastikan pesara, bakal pesara dan pihak berkepentingan dapat menikmati keterjaminan kehidupan yang lebih mampan dan produktif selepas persaraan,” katanya.

Ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt, Anwar mengumumkan KWAP menyediakan dana RM300 juta bagi meningkatkan pembangunan tanah wakaf untuk membina rumah persaraan mandiri warga emas kepada pesara berpendapatan rendah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan