BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
JERTIH, 30 Nov (Bernama) -- Projek rintis produk Teknologi Tebatan Banjir atau NoFloods yang kini di peringkat bukti konsep (POC) dilihat berkesan dalam menangani masalah banjir dan meminimumkan impak jalan terputus akibat bencana itu.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata produk sepanjang 300 meter itu, yang mula dipasang di Seksyen 6.30 Jalan Persekutuan FT189 di sini dari 1 Okt lepas hingga 31 Mac 2025, adalah hasil kerjasama Kementerian Kerja Raya dan syarikat konsesi.
"Hari ini, secara kasarnya saya melihat bagaimana produk ini yang menggunakan teknologi Internet Pelbagai Benda (IOT) berkesan sebagai halangan untuk membantu supaya air tidak mengalir ke jalan. Macam manapun kita masih kena tunggu laporan penuh.
"Ia guna teknologi di mana air masuk ke dalam paip besar yang boleh jadi penghalang aliran banjir dan dengan IOT, ia pintar sebab boleh beri maklumat secara masa nyata melalui aplikasi," katanya kepada pemberita selepas meninjau produk itu di sini hari ini.
Mengulas mengenai keberkesanan produk dari Denmark itu sepanjang tempoh pemasangan di lokasi, beliau berkata NoFloods mampu menampung ketinggian aras air banjir hingga 1.2 meter dan catatan paras air yang direkod ialah 0.9 meter dari aras tanah.
"Ia dipasang di lokasi terpilih yang dirasakan memerlukan... ia macam jambatan bailey yang dipasang hanya untuk sementara waktu dan bukan kekal," katanya.
Nanta juga berkata pihaknya akan melakukan kerja penyelenggaraan infrastruktur jalan raya yang rosak akibat banjir di Terengganu pada 2025.
"Tiga lokasi yang menjadi keutamaan ialah Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (FT003) di Seksyen 463-465; Jalan Bukit Besi-Dungun (FT132) di Seksyen 8-10 dan Jalan Jerangau-Jabor (FT14) di Seksyen 117-118.
"Untuk tahun 2025, KKR telah mengenal pasti dan memohon 228 bilangan kerja penyenggaraan berkala turapan bernilai RM301.77 juta dan 197 bilangan kerja berkala bukan turapan bernilai RM46.9 juta bagi Jalan Persekutuan di Terengganu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial