WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Banjir: Ujian Bertutur SPM 2024 Diteruskan Seperti Dijadualkan - Fadhlina

01/12/2024 01:22 PM

PUTRAJAYA, 1 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di semua negeri terjejas banjir termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah seperti yang dijadualkan bermula esok hingga Khamis, selepas mengambil kira nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menterinya Fadhlina Sidek berkata keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengenai situasi Monsun Timur Laut (MTL), yang berkemungkinan berpanjangan sehingga Februari 2025.

“KPM sedia melaksanakan peperiksaan dalam situasi banjir berdasarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung dan Pelan Tindakan Menghadapi MTL.

“KPM juga berkerjasama dengan agensi seperti NADMA, Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), untuk memastikan peperiksaan SPM berjalan lancar,” katanya pada Sidang Media Khas Pengurusan Banjir KPM dan Persiapan Peperiksaan SPM, di sini hari ini.

Fadhlina berkata seramai 5,377 calon SPM dikenal pasti terjejas akibat banjir di tiga negeri iaitu Kelantan seramai 3,111 calon, Terengganu (1,734 calon) dan Kedah (532 calon).

Beliau berkata semua calon terjejas banjir akan ditempatkan di asrama atau digerakkan ke pusat peperiksaan alternatif, bagi memastikan kesemua calon dapat keselesaan untuk menduduki peperiksaan mengikut jadual ditetapkan.

Fadhlina berkata setakat ini, pemindahan calon-calon terkesan banjir sedang dilaksanakan di semua peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di ketiga-tiga negeri, khususnya di Kelantan.

“Gerakan memindahkan mereka sedang dilaksanakan untuk memastikan mereka dapat tinggal di asrama yang kondusif dan teruskan ulang kaji persiapan SPM mereka dengan tersusun.

“Bagi pembelajaran di asrama dan pusat peperiksaan alternatif, kita sediakan semua buku teks, akses kepada makmal komputer dan juga menggunakan pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa),” katanya.

Fadhlina berkata memandangkan ada pertambahan jumlah pelajar di asrama berikutan pemindahan masuk calon SPM yang terjejas banjir, pihaknya akan memastikan keperluan tambahan asrama seperti penyediaan makanan yang berkualiti akan disalurkan segera oleh KPM.

Beliau berkata KPM juga memberi kebenaran kepada calon terjejas banjir untuk tidak memakai pakaian seragam semasa menduduki peperiksaan, sebaliknya boleh menggunakan pakaian yang bersesuaian.

Selain sokongan psikosial yang disediakan oleh setiap JPN bagi membantu calon terjejas banjir, beliau berkata pihaknya juga akan menyediakan kelengkapan peperiksaan seperti alat tulis kepada mereka.

Pada masa yang sama, beliau berkata calon persendirian juga diminta untuk menghubungi JPN atau hadir terus ke pusat peperikasaan alternatif, bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menduduki peperiksaan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan