KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Juara dua kali badminton Paralimpik Cheah Liek Hou bertekad untuk menamatkan kempen tahun ini dengan cemerlang, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah pada Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Bahrain di Manama dari 11 hingga 15 Dis.
Pemain berusia 36 tahun itu memenangi kesemua perlawanan yang disertai tahun ini untuk merangkul lima kejuaraan termasuk pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris.
Kekalahan terakhir Liek Hou hampir setahun lepas ketika menentang rakan senegara Muhammad Fareez Anuar dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki SU5 pada Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Fazza Dubai di Emiriah Arab Bersatu, Disember lepas.
“Pada usia saya sekarang, saya tidak merasakan sebarang tekanan tetapi apa yang saya mahukan ialah menikmati masa ini dan terus mencipta sejarah serta rekod baharu untuk diri sendiri. Apa yang saya selalu beritahu pada diri sendiri ialah ‘jika anda memenangi sesuatu pertandingan, anda boleh menang lebih banyak lagi.’
“Jadi lebih baik mencipta banyak keputusan yang positif daripada terus memikirkan tekanan. Tahun lepas saya menang di Bahrain, tetapi itu adalah tahap 2. Ini kali pertama mereka menganjurkan kejohanan tahap 1, jadi saya menjangkakan cabaran sukar daripada pemain terbaik dunia,” kata Liek Hou yang mencipta rekod memenangi gelaran kelapan Kejohanan Dunia Para pada Februari.
Liek Hou yang menggondol emas pada Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo (diadakan pada 2021) dan Sukan Paralimpik 2024 di Paris berkata beliau merancang untuk menyertai sekurang-kurangnya lapan kejohanan pada 2025, tetapi sasaran utama adalah Kejohanan Dunia 2026 di Bahrain dan Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya, Jepun.
“Saya akan sasar kejohanan hingga Sukan Para Asia 2026. Kemudian akan lihat sama ada kondisi saya mengizinkan saya untuk terus bertanding atau tidak… kalau masih boleh beri cabaran, kuat dan sihat, saya akan sambung lagi,” katanya.
Sementara itu, pemain beregu lelaki negara Soh Wooi Yik berkata beliau akan terus berusaha untuk kembali ke prestasi terbaik selepas mengalami kecederaan patah kaki kanan pada Sukan Olimpik 2024 di Paris pada Ogos lepas.
Wooi Yik yang akan beraksi pada Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 di Hangzhou, China dari 11 hingga 15 Dis berharap dapat beraksi dengan baik pada perlawanan akhir musim itu selepas terlepas empat kejohanan akibat kecederaan berkenaan.
“Saya sudah sembuh sepenuhnya, tetapi buat masa ini saya masih dalam proses pemulihan dan sedang membina semula kekuatan saya. Untuk mencapai tahap terbaik bukan mudah, mengambil masa beberapa bulan. Saya harap peminat akan memberi sedikit masa untuk kami kembali ke prestasi terbaik kami,” katanya.
Terdahulu, Liek Hou menerima insentif RM10,000 daripada Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) di Akademi Badminton Malaysia atas pencapaian memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik, manakala jurulatihnya Nova Armada memperoleh RM2,000.
Wooi Yik menerima RM5,000 kerana mempertahankan pingat gangsa Sukan Olimpik bersama pasangannya Aaron Chia, manakala jurulatih Hoon Thien How memperoleh RM2,000 atas kejayaan membimbing beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah ke separuh akhir di Paris.
Liek Hou dan Wooi Yik masing-masing turut menerima panel solar tajaan Solaroo pada majlis yang diadakan sempena mesyuarat agung tahunan KLBA.
Presiden KLBA Datuk Seri Dr Jahaberdeen YM Mohamed Yunoos berharap kejayaan mereka akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pemain muda untuk mencipta legasi baharu, selain berjanji bahawa KLBA akan meneruskan program akar umbi untuk melahirkan juara baharu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial