WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pengendali Takaful, Al Rajhi Bank Salur Bantuan Kepada Mangsa Banjir

01/12/2024 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Pengendali takaful di Malaysia telah secara kolektif menyalurkan bantuan dan melakukan usaha pemulihan untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir baru-baru ini khususnya di Pantai Timur.

Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dalam satu kenyataan hari ini berkata mengambil kira cabaran dihadapi oleh individu yang dipindahkan dari rumah mereka akibat banjir, pengendali takaful telah bertindak untuk menjalankan beberapa langkah bantuan.

Langkah tersebut termasuk mempercepatkan pemberitahuan tuntutan dengan menyediakan nombor talian hotline atau WhatsApp tanpa memerlukan banyak dokumen; menempatkan wakil penilai (adjuster) di kawasan terjejas; mempercepatkan tuntutan bukan motor tanpa memerlukan banyak dokumen juga; dan mengecualikan membuat laporan polis sebelum membuat tuntutan untuk kenderaan bermotor.

Langkah lain adalah laporan penilai akan disiapkan dalam tempoh lima hari selepas selesai siasatan dijalankan dalam mempercepatkan tuntutan di bawah RM20,000 dan proses tuntutan dipermudahkan diperkenalkan untuk tuntutan di bawah RM50,000.

“MTA juga bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk mendapatkan dan menyediakan bekalan makanan dan peralatan kecemasan, logistik, dalam dan luar negara untuk sokongan dalam saluran pengedaran dan sistem kritikal seperti peranti komunikasi untuk usaha bantuan di lapangan,” katanya.

Sementara itu, Al Rajhi Banking and Investment Corporation (Malaysia) Bhd (Al Rajhi Bank Malaysia) turut menawarkan bantuan kecemasan kepada pelanggannya yang terjejas akibat banjir ketika ini di seluruh Malaysia.

“Penangguhan pembayaran pembiayaan sehingga enam bulan ditawarkan kepada semua individu terjejas serta pelanggan perusahaan kecil dan sederhana.

"Dalam tempoh ini, keuntungan terakru akan terus berjalan tetapi tidak akan dikompaun selaras dengan prinsip Shariah," katanya.

Sebarang penggantian kad debit Al Rajhi Bank Malaysia yang hilang atau rosak akan dilakukan secara percuma kepada pelanggan.

"Pelanggan korporat terjejas oleh situasi yang berlaku sekarang dinasihatkan untuk menghubungi Pengurus Perhubungan untuk mendapatkan bantuan," kata bank itu.

Pelanggan Al Rajhi juga boleh menghubungi Perunding Khidmat Pelanggan beroperasi selama 24 jam di +603 2332 6000 manakala layari www.takaful4all.org untuk inisiatif pengendali takaful.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan