WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SDEC, FPT Meterai MoU Pacu Agenda Ekonomi Digital Sarawak

03/12/2024 09:27 PM

KUCHING, 3 Dis (Bernama) -- Sarawak Digital Economy Corporation Bhd (SDEC) menjalin kerjasama dengan peneraju teknologi global FPT Corporation bagi melonjakkan matlamat negeri berkenaan sebagai hab ekonomi digital serantau.

Usaha kerjasama itu dilakar menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di Ho Chi Minh City, Vietnam, pada hari ini, kata kenyataan SDEC.

Di bawah perjanjian itu, FPT akan berperanan sebagai rakan strategik teknologi SDEC, melaksanakan pembangunan bersama dan pengkomersialan penyelesaian inovatif mengikut keperluan Sarawak.

Antara tumpuan bidang kerjasama itu seperti e-kerajaan, bandar pintar, penjagaan kesihatan, tenaga dan keselamatan siber.

Naib Presiden Eksekutif FPT Pham Minh Tuan menyuarakan keyakinannya terhadap kerjasama itu, memetik pengalaman dua dekad syarikat itu dalam sektor teknologi maklumat (IT) Malaysia yang mengiktirafnya sebagai rakan teknologi boleh dipercayai.

“Menerusi gabungan kedudukan Sarawak sebagai tenaga penggerak transformasi digital Malaysia dan kepakaran FPT, kami dapat mewujudkan bersama penyelesaian inovatif yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) dan teknologi generasi akan datang bagi menangani cabaran kritikal di Asia Tenggara,” katanya.

Kerjasama itu akan turut mengutamakan usaha pembangunan bakat selain syarikat pemula niaga.

FPT akan bekerjasama dengan universiti tempatan dan kolej teknikal untuk reka bentuk kurikulum khusus, program latihan serta latihan amali yang bertujuan melengkapkan tenaga kerja Sarawak dengan kemahiran penting dalam pembangunan perisian, analisis data serta AI.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Datuk Sudarnoto Osman pula menyifatkan kerjasama dengan FT sebagai penekanan komitmen Sarawak dalam memajukan ekonomi digital yang juga pemacu utama pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

“Kami berharap kerjasama ini akan memperkasa kedua-dua pihak untuk menyampaikan penyelesaian semasa yang tidak hanya memenuhi tetapi melangkaui keperluan pelanggan dan pihak berkepentingan kami yang sentiasa berubah,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan