WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LZS Lancar Kempen ‘Sama-sama Kongsi’, Galak Umat Islam Tunai Kewajipan

04/12/2024 03:48 PM

SHAH ALAM, 4 Dis (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan kempen 'Sama-Sama Kongsi’ bermula hari ini hingga 31 Dis ini, sebagai seruan dan galakan kepada umat Islam khususnya di Selangor untuk menyegerakan kewajipan zakat sebelum berakhir 2024.

Ketua Pegawai Operasi LZS Ahmad Fadhil Hassan berkata selain membantu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan berzakat, kempen itu juga bertujuan mengajak mereka yang layak menunaikan kewajipan zakat bersama-sama LZS bagi membantu golongan asnaf yang memerlukan.

"Menerusi kempen ini, kami (LZS) mempunyai misi untuk mengutip RM400 juta bagi mencapai sasaran agihan zakat sebanyak RM1.2 bilion tahun ini.

"Setakat ini kami telah laksanakan pengagihan zakat berjumlah RM1 bilion dan LZS yakin menerusi kempen ini, misi kutipan RM400 juta dapat dicapai mengambil kira peratus kutipan yang tinggi direkodkan setiap tahun pada Disember," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen berkenaan di Ibu Pejabat LZS di sini hari ini.

Beliau berkata sebahagian besar masyarakat gemar memilih Disember sebagai tempoh cukup haul bagi mereka mengeluarkan zakat, antaranya disebabkan pembayar zakat dapat menikmati keistimewaan rebat cukai.

Dalam hal itu, Ahmad Fadhil mengajak masyarakat untuk menyertai kempen inisiatif galakan kepada pengeluar zakat dengan pelbagai tawaran hadiah menarik bernilai lebih RM60,000 sempena kempen berkenaan. 

Beliau berkata antara inisiatif yang ditawarkan adalah menerusi kempen 'Start With Sepuluh' terutama kepada pengeluar zakat dalam kalangan orang muda di institusi pengajian tinggi; kempen 'Jom Auto Zakat Bulanan' terbuka kepada individu, peniaga serta syarikat yang mula mendaftar pembayaran zakat secara bulanan menerusi pembayaran debit langsung serta pemotongan gaji dan kempen 'Early Bird' di 18 cawangan LZS khusus kepada 10 pengeluar zakat terawal yang mengunjungi mana-mana 18 cawangan LZS setiap hari.

Maklumat lanjut mengenai kempen Sama-Sama Kongsi boleh diperoleh dengan melayari jom.zakatselangor.com.my atau media sosial rasmi LZS.

Sementara itu, Ahmad Fadhil berkata sebanyak RM844 juta jumlah kutipan zakat melibatkan 322,000 pengeluar zakat di Selangor termasuk pembayar individu dan syarikat korporat berjaya dikutip setakat November lepas.

Daripada kutipan itu, katanya LZS telah melaksanakan pengagihan dengan menyantuni lebih 72,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan individu mualaf di Selangor.

Pada majlis sama, syarikat Infinity Gigabyte Sdn Bhd dan NZ Venture Logistic (M) Sdn Bhd turut menyerahkan zakat perniagaan, masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM2,500. 

LZS turut menyampaikan bantuan zakat berjumlah RM5.82 juta meliputi tujuh kategori penerima iaitu bantuan kewangan bulanan (fakir), bantuan sewa rumah (miskin), bantuan perubatan, bantuan peralatan dan baik pulih surau, bantuan dermasiswa pengajian tinggi, sumbangan bantuan Ithbat dan bantuan program sekolah angkat zakat Selangor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan