WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN PERSEKUTUAN FOKUS TINGKAT PELAKSANAAN PROJEK PEMBANGUNAN DI SABAH TAHUN DEPAN - FADILLAH

07/12/2024 09:05 PM

KOTA KINABALU, 7 Dis (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan akan memberi fokus kepada meningkatkan pelaksanaan projek pembangunan di Sabah tahun depan bagi memastikan lebih banyak projek terutamanya melibatkan infrastruktur kemudahan rakyat di negeri itu dapat disiapkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata fokus itu diletakkan kerana pelaksanaan projek di negeri itu berdepan pelbagai masalah serta kekangan, sehingga rakyat tidak dapat menikmatinya meskipun Sabah menerima peruntukan terbanyak dalam belanjawan tahunan negara.

"Misal kata RM6.6 bilion (peruntukan) untuk Sabah (dalam Belanjawan 2024) tetapi kadang-kadang hanya dapat dibelanjakan dalam RM4.5 bilion atau RM4.6 bilion, sebab itu kita nak melihat bagaimana nak pastikan peruntukan diluluskan itu dapat pelaksanaan projek dengan baik supaya projek siap bukan hanya untuk ekonomi Sabah tetapi lebih penting kemudahan rakyat disempurnakan.

"Kita akan pantau secara rapi apa sahaja masalah melibatkan tanah dan sebagainya, kita cari jalan bersama antara kerajaan Persekutuan dan negeri supaya kita dapat kurangkan segala permasalahan bagi melaksanakan projek ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Fadillah mewakili kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyerahkan enam projek siap melibatkan kos bernilai RM65.5 juta kepada Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk kerajaan Sabah.

Belanjawan 2024 menyaksikan Sabah menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM6.6 bilion, dan jumlah itu meningkat kepada RM6.7 bilion dalam Belanjawan 2025.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata pada masa ini tiada sasaran jumlah projek siap diletakkan tahun depan namun beliau mahu semua pihak terlibat berusaha sebaik mungkin untuk meminimumkan projek lewat siap, dan memaksimumkan jumlah yang dapat disiapkan.

Ditanya tentang masalah dihadapi dalam melaksanakan projek di Sabah, Fadillah berkata ia termasuk masalah tanah tidak dapat disediakan, tanah disediakan tetapi tidak sesuai antaranya kerana ia berada dalam kawasan bencana banjir, dan masalah kontraktor.

"Masalah paling besar ialah pelaksanaan dari segi kontraktor. Mereka mempunyai masalah dalam soal kewangan, perancangan dan kepakaran. Ada juga kekurangan bahan, kami dimaklumkan kadang-kadang ada masalah bekalan simen...juga masalah dalam soal kepakaran dari segi pekerja, jurutera, profesional, semi-profesional malah buruh.

"Projek berdepan masalah (di Sabah) antaranya (projek) bekalan air luar bandar, kemudahan asas, begitu juga jalan luar bandar dan juga sekolah-sekolah. Masalah yang kita kenal pasti bukan begitu besar dan boleh diselesaikan, tetapi ada juga masalah kontraktor tidak dapat diselamatkan (tiada kemampuan) menyebabkan projek itu tidak dapat disiapkan," katanya.

Fadillah berkata apabila projek itu tidak dapat disiapkan dan memerlukan lantikan kontraktor baharu, ia memerlukan tambahan kos menyebabkan peruntukan yang disediakan tidak cukup, manakala proses mendapatkan peruntukan baharu memerlukan masa lebih panjang.

"Terdapat 17 projek sakit dan lewat di Sabah, manakala 420 projek dalam prapelaksanaan. Tetapi daripada 420 projek (prapelaksanaan) ada sudah bermula tetapi lambat kemaskini laporan, jadi dengan mesyuarat koordinasi, kita dapat kemaskini, terkini kita tahu ada projek ini mula di tapak, sudah keluar tender, dalam penilaian dan pelbagai lagi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan