WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HAMPIR 20,000 AHLI SKUAD SABIL SEDIA BANTU MANGSA BANJIR SEPANJANG MTL

09/12/2024 03:41 PM

KUALA TERENGGANU, 9 Dis (Bernama) -- Hampir 20,000 ahli Skuad Sabil bersedia membantu mangsa banjir di seluruh negara sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata keutamaan diberikan oleh ahli badan beruniform di bawah Pergerakan Pemuda UMNO itu adalah bantuan pasca banjir terhadap mangsa seperti membersihkan rumah dan pemberian sumbangan kit makanan serta barangan. 

"Semasa banjir kita memang tidak boleh gerakkan semua ahli ke satu-satu kawasan kerana ada negeri-negeri lain turut dilanda banjir, tetapi kita menggerakkan ahli UMNO di peringkat bahagian terlebih dahulu ke setiap kampung terlibat dan kita akan menolong semasa tempoh pasca banjir. Memang kita sangat konsisten. Di setiap tempat berlakunya bencana, Pemuda UMNO akan hadir dan sudah tentulah kita ada Skuad Sabil, Puteri (Puteri UMNO) dan Wanita (Wanita Umno) semuanya turun menggembleng tenaga. 

"Seperti kami datang hari ini (ke Terengganu) bagi membantu memudahkan urusan mereka, ini lah hasrat Timbalan Perdana Menteri selaku Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang mahu seluruh jentera UMNO bergerak ke segenap pelosok kampung yang dilanda banjir. Inilah UMNO sama ada menjadi kerajaan ataupun tidak, itu lah kami. Kita bukan nak berpolitik, tetapi soalnya UMNO ini sudah lama berada bersama dengan orang-orang kampung," katanya kepada pemberita selepas menziarahi rumah penduduk yang dilanda banjir gelombang pertama lepas di Kampung Jeram Hulu di Manir, dekat sini hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata Pemuda UMNO juga berperanan mengangkat aduan orang kampung mengenai pelbagai permasalahan pasca banjir seperti kerosakan infrastruktur ke peringkat atas agar ia dapat segera diselesaikan.  

Selain itu, pihaknya juga memperuntukkan RM100,000 yang berupa bantuan dalam bentuk kit makanan dan barangan keperluan kepada penduduk di Terengganu dan Kelantan yang ditimpa musibah banjir teruk baru-baru ini, tambah beliau. 

"Selain makanan, kita juga berikan barangan seperti toto, bantal, selimut dan peralatan mencuci rumah yang mereka (mangsa banjir) boleh simpan dan guna ketika musim banjir," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan