KOTA BHARU, 11 Dis (Bernama) -- Kerajaan Kelantan mahu perancangan pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok secara berfasa diteliti semula dengan penjadualan yang lebih teratur dan strategik bagi mengelak banjir besar daripada terus berlaku.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata langkah ini penting agar kesan buruk kepada rakyat di kawasan berkenaan tidak berterusan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
"Kerajaan negeri komited memastikan rakyat di kawasan terlibat tidak lagi menjadi mangsa setiap kali musim tengkujuh dan terus bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan, agensi-agensi dan penduduk setempat dalam memastikan penyelesaian jangka panjang yang efektif terhadap isu banjir," katanya dalam kenyataan yang dibacakan Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohd Nassuruddin berkata kerajaan negeri juga menyeru agar pandangan penduduk kampung di sekitar Sungai Golok diambil kira dalam setiap perancangan kerana mereka lebih memahami keperluan serta cabaran setempat yang perlu diberi perhatian serius.
Beliau berkata cadangan pembinaan pintasan yang berfungsi untuk mengalirkan air ke Sungai Mengkuang atau Pengkalan Nangka bagi mengelakkan risiko banjir yang lebih teruk di kawasan Meranti, Lancang dan sekitarnya juga perlu diteliti sebagai langkah penyelesaian yang signifikan.
"Kita menyeru agar reka bentuk projek dikaji semula dengan mengambil kira standard perlindungan terkini yang lebih realistik termasuk langkah mitigasi yang komprehensif perlu disediakan bagi melindungi penduduk dan keselamatan mereka lebih terjamin," katanya.
Sementara itu beliau berkata kerajaan negeri komited memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap perancangan projek berkaitan pengurusan banjir dengan mengambil maklum kebimbangan penduduk khususnya di sekitar lembangan Sungai Golok berikutan risiko banjir semakin membimbangkan.
"Kerugian tahunan yang dialami penduduk akibat banjir sentiasa menjadi keprihatinan di peringkat kerajaan. Oleh itu, pelaksanan projek tebatan banjir perlu dilaksanakan dengan segera bagi mengelakkan kerugian lebih besar pada masa hadapan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial