WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LIMA ANGGOTA, PEGAWAI POLIS TOLAK RASUAH TERIMA PENGHARGAAN KPN

11/12/2024 09:31 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Lima pegawai dan anggota daripada Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, selepas menolak sogokan semasa penugasan Op Taring Wawasan di Kelantan pada Isnin lepas.

Menerusi perkongsian di laman Facebook Polis Diraja Malaysia  (PDRM) hari ini, lima  pegawai dan anggota berkenaan ialah ASP Mohd Norzahirudin Jufri, Inspektor Muhamad Hanif Abd Halim, Sarjan Osmizan Osman, Koperal Mohd Shariffuddin Sulaiman dan Koperal Wan Mohd Abbasi Wan Abdllah @ Wan Mamat.

Razarudin turut merakamkan ucapan tahniah kepada kesemua mereka, kerana sentiasa berpegang teguh dengan prinsip integriti ketika menjalankan tugas menjaga sempadan negara.

"Apa yang dilakukan ini (menolak rasuah) seharusnya menjadi teladan buat rakan-rakan seperjuangan (warga pasukan) yang lain, agar tidak mudah terjerumus dengan perbuatan tidak bermaruah yang boleh merosakkan nama baik Polis Diraja Malaysia, seterusnya masa depan kita," katanya semasa menyerahkan surat penghargaan itu di Bukit Aman di sini, hari ini.

Turut hadir Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dan Komander Briged Tenggara PGA SAC Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.

Dalam operasi pada 9 Dis, seorang ejen sindiket penyeludupan migran cuba menyogok RM50,000 kepada anggota dan pegawai polis semasa menjalankan tugas Op Wawasan Taring Kelantan di Jalan Sri Cemerlang dan Jalan Besar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan dipercayai sebagai imbuhan kepada polis agar tidak membuat tangkapan terhadap kesemua suspek terlibat.

Dalam operasi yang dijalankan bersama Batalion 9 PGA itu, seramai 16 pendatang tanpa izin warga Myanmar serta tiga tekong berjaya ditahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan