WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AGC TARIK BALIK RAYUAN BAGI MENCABAR PEMBEBASAN AHMAD ZAHID DALAM KES RASUAH BERKAITAN VLN

12/12/2024 11:46 AM

PUTRAJAYA, 12 Dis (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menarik balik rayuannya berkaitan pembebasan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Dengan penarikan balik rayuan itu, keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk melepas dan membebaskan Ahmad Zahid, 71, kekal.

Semasa prosiding hari ini timbalan ketua bahagian rayuan dan perbicaraan di AGC Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengenai penarikan balik itu, dengan mengatakan bahawa AGC telah menerima representasi Ahmad Zahid.

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima yang mengetuai panel itu, kemudiannya menolak rayuan pihak pendakwaan. Dua lagi anggota panel itu ialah Hakiim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Dalam prosiding hari ini Yusaini memberitahu mahkamah bahawa setelah meneliti keseluruhan kes itu, AGC mendapati tiada keterangan di dalam kes ini untuk menunjukkan Ahmad Zahid telah menggunakan jawatan beliau secara langsung untuk menganugerahkan kontrak-kontrak tersebut.

“Keterangan menunjukkan kontrak-kontrak tersebut telah dianugerahkan sebelum responden (Ahmad Zahid) menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri. Ini menidakkan kewujudan peluang dan atau ruang untuk responden menyalahgunakan kuasanya,” kata beliau.

Mahkamah Rayuan hari ini dijadualkan mendengar rayuan pihak pendakwaan, bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ahmad Zahid, dan supaya beliau membela diri.

Ahmad Zahid dibebas dan dilepaskan daripada semua pertuduhan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Sept 2022, tanpa perlu membela diri. Pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan notis rayuan dengan Mahkamah Rayuan.

Yusaini berkata keterangan di dalam kes ini menunjukkan bahawa proses pelanjutan kontrak-kontrak dipertikaikan telah dibuat secara teratur dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Beliau berkata Ahmad Zahid telah mengemukakan dua surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara, masing-masing bertarikh pada 26 Jan 2023 dan 7 Feb 2024.

Yusaini berkata hakim Mahkamah Tinggi telah membuat beberapa dapatan fakta, antaranya sumber wang yang dikatakan diterima dalam kes ini, tidak disiasat dan beberapa individu yang dikatakan menjadi sumber dana dipertikaikan dari luar negara tidak dipanggil ketika siasatan mahupun ketika perbicaraan.

“Setelah mempertimbangkan representasi-representasi ini dan mengambil kira dapatan-dapatan hakim Mahkamah Tinggi, Jabatan Peguam Negara mendapati terdapat asas undang-undang dan fakta yang kukuh untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Presiden UMNO itu mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem visa luar negara (VLN) serta mengekalkan kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Ahmad Zahid turut berdepan 33 pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan atas kapasiti beliau sebagai Menteri Dalam Negeri terhadap tuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta berhubung sistem VLN antara tahun 2014 dan 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lain, Ahmad Zahid didakwa memperoleh wang tunai S$1,150,000, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan US$15,000 untuk diri sendiri daripada syarikat sama yang beliau tahu ada kaitan dengan kedudukan rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Country Heights, Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

Ketika ditemui media selepas prosiding, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepada usaha gigih peguamnya, termasuk dalam menghantar dua representasi kepada AGC.

Sementara itu peguam utama Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata mereka amat berterima kasih kepada AGC yang telah menimbang representasi berkenaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan