WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN TUMPAS SINDIKET SELEWENG MINYAK DIESEL DI PELABUHAN KLANG 

13/12/2024 02:41 PM

KLANG, 13 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Op Tiris 3.0 dengan rampasan lebih 50,000 liter minyak.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata rampasan itu dibuat dalam serbuan ke atas sebuah kapal tunda di sebuah jeti di Pelabuhan Klang di sini sekitar 3 pagi semalam, oleh anggota penguat kuasa KPDN Selangor bersama polis hasil dua bulan risikan.  

Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah minyak diesel di dalam tangki kapal tunda berkenaan di samping terdapat saluran penyambungan di antara kapal tunda itu ke sebuah tangki simpanan yang juga mengandungi minyak diesel, dipercayai sedang dipam keluar daripada tangki kapal tunda ke tangki simpanan tersebut.

"Kegiatan ini dilakukan berdasarkan permintaan iaitu modus operandi sindiket adalah dengan melakukan pemindahan diesel pada waktu tengah malam daripada kapal tunda ke tangki simpanan sebelum dipindahkan atau dipasarkan menggunakan lori.

"Dalam serbuan ini, seorang lelaki tempatan dan empat warga asing berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun yang merupakan kru kapal telah ditahan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di Jeti Bagan Hailam di sini hari ini.

Azman berkata ketika pemeriksaan dilakukan, seorang warga tempatan yang mengaku sebagai pemilik kapal tunda itu telah hadir ke lokasi namun gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen sah berkaitan urus niaga diesel tersebut.

Beliau berkata sebuah kapal tunda, minyak diesel di dalam kapal dan tangki simpanan, hos penyambung dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain disita dengan anggaran rampasan RM900,000.

Azman berkata kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti tersebut serta rantaian pengedaran dan sumber minyak diesel.

Dalam pada itu, beliau berkata sejak dilancarkan pada 1 Jan hingga 10 Dis lepas, Op Tiris 3.0 menyaksikan sebanyak 16,876 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara dengan 732 kes telah diambil tindakan melibatkan rampasan keseluruhan RM73.11 juta.

Tindakan itu katanya adalah sebahagian daripada inisiatif Kita Gempur oleh KPDN dalam usaha membanteras manipulasi aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan