WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KASTAM PERLIS RAMPAS PELBAGAI BARANGAN TERMASUK GANJA BERNILAI LEBIH RM110,000

13/12/2024 02:53 PM

KANGAR, 13 Dis (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas kanabis atau ganja dan daum ketum serta barangan tidak berkastam dengan nilai keseluruhan sebanyak RM110,623.36 bagi tempoh antara 21 Nov hingga Rabu lepas.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata ganja yang dirampas adalah seberat 30.020 kilogram (kg) bernilai RM93,200 manakala daun ketum pula melibatkan rampasan sebanyak 60 kg dengan nilai sejumlah RM2,400.

Beliau berkata kastam merampas 30.010 kg ganja bernilai RM93,000 semasa pemeriksaan di kawasan tambak pesisir pantai Bukit Putih, Kuala Perlis pada 28 Nov manakala 10 gram lagi dengan nilai RM200 dirampas ketika pemeriksaan terhadap sebuah van penumpang di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, 2 Dis lepas.

"Sebanyak 60 kg daun ketum dirampas dalam serbuan di kawasan tebing sungai Kampung Sungai Baru, Simpang Empat pada Rabu lepas," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata kastam turut merampas sembilan unit perabot terpakai bernilai RM5,400 daripada sebuah lori yang membuat pengikraran tidak benar, iaitu sebagai serbuk kayu, di Jeti Kargo Kuala Perlis pada 21 Nov.

Beliau berkata selain itu, pihaknya merampas 1,384 batang rokok tidak berkastam dengan nilai sebanyak RM423.36 dalam pemeriksaan di sebuah premis kediaman di Kampung Nelayan, Kuala Perlis pada 29 Nov.

"Sebanyak 30 liter minuman keras tidak berkastam bernilai RM9,200 dirampas semasa pemeriksaan terhadap satu bungkusan beg yang diletakkan berhampiran pintu keluar belakang sebuah feri penumpang dari Pulau Langkawi yang berlabuh di Terminal Feri Kuala Perlis pada 10 Dis," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan