MELAKA, 13 Dis (Bernama) -- Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM1.3 juta oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menerima suapan RM260,000 bagi kerja pembekalan bot Melaka River Cruise (MRC), tujuh tahun lepas.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Fariz Mohd Ali, 42, selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah untuk mematahkan anggapan mengikut Seksyen 51 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Elesabet memutuskan hukuman denda berjumlah RM1.3 juta bagi semua pertuduhan dan penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua serta masing-masing setahun bagi dua lagi pertuduhan dan memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak bermula hari ini.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan tertuduh bagi penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dengan jaminan dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM60,000.
Mengikut keempat-empat pertuduhan pindaan, Mohd Fariz yang ketika itu merupakan pengurus di Bahagian Pembangunan Perniagaan Produk PPSPM didakwa menerima suapan tunai bernilai keseluruhan RM260,000 daripada Syarikat LEC Impressions Sdn Bhd, yang mana wang tersebut diberikan secara tunai oleh wakil syarikat berkenaan.
Wang itu diberikan sebagai upah untuk tertuduh mencadangkan agar syarikat berkenaan memperoleh projek membekal 10 buah bot MRC kepada PPSPM.
Kesalahan didakwa dilakukan di hadapan sebuah premis mencuci kereta di Taman Peringgit Jaya dan di sebuah rumah di Taman Puncak Bertam antara 4 Jan hingga 6 Mac 2017 mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Sekyen 24(1) akta sama.
Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Mohd Fariz merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya tidak lagi memegang jawatan berkenaan selain mempunyai tanggungan serta masalah kesihatan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman setimpal memandangkan jumlah suapan adalah tinggi selain tertuduh merupakan penjawat awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial