WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EKONOMI ASEAN MENGALAMI PERTUMBUHAN STABIL PADA 2024 DI SEBALIK CABARAN

14/12/2024 06:39 PM

JAKARTA, 14 Dis (Bernama-Xinhua) -- Asia Tenggara muncul sebagai antara rantau dengan pertumbuhan ekonomi paling pesat di dunia.

Dengan populasi muda yang besar sebagai pendorong transformasi digital, sumber semula jadi yang melimpah dan tenaga kerja yang berkemahiran, ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara) telah meletakkan dirinya sebagai enjin utama yang menggerakkan rantaian bekalan global dan pembangunan industri, lapor Xinhua.

Walaupun terdapat kelembapan ekonomi global dan ketidakpastian geopolitik, ekonomi Asia Tenggara menunjukkan ketahanan yang luar biasa, mengekalkan pertumbuhan yang kukuh. Antara faktor utama dalam trajektori ini adalah perkongsian strategik ASEAN dengan China, rakan dagang terbesar dan pelabur utama. Dengan perdagangan dua hala mencapai tahap tertinggi dan Inisiatif Jalur dan Jalan yang dicadangkan oleh China mengukuhkan sambungan serantau, Asia Tenggara bersedia untuk meningkatkan peranannya dalam ekonomi global sambil menghadapi cabaran masa depan.


PEMBANGUNAN EKONOMI ASEAN: PANDANGAN CERAH

ASEAN muncul sebagai tonggak kestabilan dan pertumbuhan ekonomi di tengah-tengah landskap global yang bergolak. Menteri Koordinasi Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto, memuji ketahanan ASEAN dengan menekankan peranannya sebagai "kerjasama serantau yang paling stabil" di Indo-Pasifik.

Menurut Bank Pembangunan Asia (ADB), kadar pertumbuhan ekonomi Asia Tenggara pada 2024 dijangka mencapai 4.6 peratus, didorong oleh permintaan domestik yang kuat, penggunaan dan pemulihan sektor pelancongan. Kemboja, Indonesia, Filipina dan Vietnam dijangka menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi.

Indonesia dijangka berkembang sebanyak 5 peratus pada tahun ini dan 2025, disokong oleh langkah-langkah kawalan inflasi yang berkesan, menurut Pengarah Negara ADB untuk Indonesia Jiro Tominaga.

Pakar pemasaran Indonesia Hermawan Kartajaya turut menekankan potensi pelaburan ASEAN. "ASEAN adalah pasaran yang sangat menjanjikan bagi komuniti global. Oleh itu, negara perlu membuka peluang pelaburan, terutamanya dalam pembangunan sumber manusia dan teknologi," katanya.


CABARAN UNTUK ASEAN: MENGHADAPI KETIDAKPASTIAN

Walaupun pencapaian yang mengagumkan, ASEAN menghadapi cabaran serius daripada konflik geopolitik, perubahan kepimpinan politik dan dasar perlindungan yang semakin meningkat di seluruh dunia. Rahadian Zulfadin, penganalisis dasar  Agensi Dasar Fiskal di Kementerian Kewangan Indonesia, memberi amaran yang 2024 menyaksikan tiga cabaran utama. "Pertama, konflik geopolitik. Kedua, perubahan kepimpinan politik di banyak negara. Ketiga, ekonomi global dan ekonomi utama masih lemah," katanya.

Konflik yang berterusan di Ukraine dan Gaza, ditambah dengan perubahan kerajaan di Syria,  meningkatkan ketidakstabilan global. "Kita berada dalam situasi yang tidak pasti secara global," kata Zulfadin, sambil menunjukkan yang isu-isu ini boleh menggugat rantaian bekalan global dan aliran perdagangan.

Hoe Ee Khor, ketua ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3, menyebut langkah perlindungan AS sebagai risiko signifikan. "Pelarasan pasaran yang mendadak tetapi singkat yang kita saksikan pada awal Ogos adalah peringatan tentang risiko lonjakan selanjutnya dalam ketidaktentuan pasaran kewangan. Potensi peningkatan dasar perlindungan selepas pilihan raya presiden AS adalah satu lagi risiko utama bagi rantau ini," katanya.

Arianto Patunru, pengerusi lembaga Pusat Kajian Dasar Indonesia berkata trend perlindungan semakin mengukuh di tengah-tengah dinamik global, menunjukkan tanda-tanda deglobalisasi. Beliau memberi amaran, langkah perlindungan boleh menstabilkan rantaian bekalan global, menimbulkan risiko kepada ekonomi ASEAN yang bergantung kepada eksport.


CHINA: RAKAN PEMBANGUNAN PENTING UNTUK ASEAN

China terus menjadi rakan dagang terbesar ASEAN, mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin mendalam. Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn menekankan pentingnya memperkukuh sambungan rantaian bekalan antara ASEAN dan China untuk mengekalkan ketahanan ekonomi.

Kao turut menyoroti peranan infrastruktur dalam memudahkan perdagangan dan mobiliti, memuji kereta api laju Jakarta-Bandung dan kereta api Laos-China sebagai contoh projek infrastruktur mampan bersama yang berjaya. "Saya melihat peluang besar untuk China bekerjasama dengan ASEAN dan negara anggotanya dalam memenuhi keperluan infrastruktur. Melalui Inisiatif Jalur dan Laluan, China boleh menyokong Projek Infrastruktur ASEAN dan memanfaatkan kepakaran serta sumbernya dalam pembangunan infrastruktur," tambahnya.

Prestasi eksport Kemboja menekankan impak positif kerjasama ASEAN-China. Dalam 11 bulan pertama 2024, eksport Kemboja mencecah US$23.93 bilion, meningkat 16.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. Eksport utama termasuk pakaian, kasut, basikal, tayar kereta dan produk pertanian dengan China menjadi satu daripada destinasi eksport utama Kemboja.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan