WILAYAH - TENGAH > BERITA

TCM Beralih Ke Ubat-Ubatan Berasaskan Tumbuhan, Jaga Hidupan Liar

27/02/2025 10:16 AM


From Soon Li Wei

Artikel kedua daripada laporan tiga bahagian tentang ketersediaan ubat-ubatan tradisional berasaskan tenggiling di pasaran di sebalik larangan antarabangsa terhadap pemerdagangan tenggiling ini mengupas peralihan kepada produk berasaskan tumbuhan bagi melindungi hidupan liar.

 

Sejak 2016, industri perubatan tradisional Cina atau TCM, mula beralih daripada ubat-ubatan berasaskan hidupan liar kepada yang berasaskan tumbuhan bagi melindungi biodiversiti.

Tenggiling, iaitu haiwan liar terancam paling banyak diseludup, popular dalam TCM kerana sisiknya digunakan bagi merawat pelbagai jenis penyakit seperti artritis dan bengkak selain melancarkan aliran susu badan.  

Menurut pengamal TCM dan juga pemain industri, fokus TCM moden beralih kepada sumber lestari yang diperoleh secara beretika dengan pengesahan saintifik, bagi memastikan rawatan opsyen  yang berkesan, bertanggungjawab dan bebas kekejaman terhadap haiwan.

Pendekatan ini termasuk tidak menggalakkan penggunaan bahan-bahan terbitan hidupan liar yang terancam dalam TCM dan mengesyorkan alternatif berasaskan tumbuhan atau sintesis makmal yang menawarkan faedah terapeutik setanding.

pic-2

Menurut pakar herba di Sunway TCM Centre Huong Hee, alternatif berasaskan tumbuhan umumnya lebih diterima disebabkan oleh kelebihan-kelebihan seperti kelestarian, harga berpatutan dan beretika.

“ Walaupun bahan-bahan berasal daripada haiwan memainkan peranan dalam TCM sejak dahulu lagi, sentiasa ada pengganti berasaskan tumbuhan atau sintetik yang berkesan, sejajar dengan piawaian etika dan penyelidikan saintifik moden.

“Tidak seperti bahan-bahan daripada haiwan yang jarang ditemukan dan terancam, herba boleh ditanam, menjadikannya lebih mudah diakses dan menjimatkan kos.

“Tambahan pula bahan daripada haiwan lebih mahal kerana sukar diperoleh, terutama apabila sumbernya merupakan spesies terancam,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

 

PENDEKATAN LEBIH LESTARI 

Huong berkata mengenal pasti pengganti berasaskan tumbuhan atau sintetik yang berkesan adalah penting dalam melindungi hidupan liar daripada mengalami kepupusan, di samping memastikan pesakit menerima rawatan yang selamat dan berkesan.

“Contohnya, sebagai ganti sisik tenggiling, kami kini menggunakan herba seperti Wang Bu Liu Xing (biji benih  Vaccaria) untuk melancarkan peredaran darah dan penyusuan.

"Begitu juga, alternatif sintetik seperti asid ursodeoxycholic (UDCA) telah menggantikan hempedu beruang untuk keadaan yang berkaitan dengan hati," katanya.

pic-3

Penerimaan terhadap alternatif ini semakin berkembang, terutamanya apabila penyelidikan demi penyelidikan mengesahkan keberkesanannya, selain pertimbangan etika pula mendorong perubahan dalam pilihan pengguna, tambahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa tidak semua ubat berasaskan haiwan atau yang mengandungi bahan hidupan liar, terutamanya sisik tenggiling, sesuai untuk pesakit.

“Sebelum kita tentukan ubat untuk pesakit, kita periksa nadi mereka serta meneliti sejarah perubatan termasuk alergi ubat serta ubat-ubatan Barat yang diambil sekarang atau risiko hipertensen.

“Adalah amat penting untuk memastikan tidak ada intervensi perubatan jika kita mempreskribkan ubat mengandungi bahan berasaskan haiwan, dengan mengutamakan keselamatan dan kesihatan pesakit,” katanya.

Ahli farmasi dan juga Ketua Operasi Sunway TCM Centre Chan Si Yan berkata satu lagi kejayaan dalam melakukan transformasi kepada ubat-ubatan berasaskan tumbuhan ialah kesedaran dalam kalangan pengamal TCM bahawa Malaysia sebuah negara berbilang etnik dan pelanggan mereka datang daripada latar belakang kaum yang berbeza.

“Pengamal bukan hanya merawat pesakit Cina tetapi juga daripada kaum lain seperti Melayu dan India. Sebagai sebahagian daripada komitmen kepada keterangkuman,  kami seboleh-bolehnya mengelak daripada menggunakan ubat berasaskan haiwan  dan memilih produk herba yang turut memberi kesan terapeutik sama.

“Selain itu, kebanyakan ubat herba berasaskan tumbuhan dan produk TCM bersifat vegan, memastikan ia halal untuk orang Islam,” katanya, menambah jika pesakit tidak pasti tentang produk TCM yang dibeli dalam talian, mereka harus berunding dengan pengamal atau pakar herba TCM bertauliah untuk pengesahan.  

pic-4

 

 BUKU PANDUAN BAGI PENGAMAL TCM 

Bagi meningkatkan kesedaran pemain industri TCM serta mendidik masyarakat tentang larangan penggunaan produk TCM yang mengandungi bahan bersumberkan hidupan liar termasuk sisik tenggiling, badan bukan kerajaan (NGO) TRAFFIC dengan kerjasama Persekutuan Persatuan Tabib Dan Pedagang Ubat Tionghua Malaysia (FCPMDAM) melancarkan inisiatif Ren Xin (Kind Heart).

Inisiatif ini bertujuan menangani penggunaan spesies haiwan terancam yang dilindungi di peringkat tempatan dan antarabangsa dalam industri.

(TRAFFIC ialah NGO antarabangsa peneraju yang berusaha memastikan perdagangan spesies hidupan liar dilakukan secara sah dan lestari bagi manfaat planet dan juga manusia.)

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Ren Xin, organisasi itu menerbitkan buku panduan bertajuk “Handbook for TCM Practitioners and Traders in Malaysia” pada November 2023.

Pengurus program TRAFFIC International Southeast Asia Serene Chng berkata buku itu merupakan penerbitan pertama seumpamanya bagi industri TCM Malaysia, menghimpunkan kajian ujian klinikal tentang keberkesanan ubat alternatif yang tidak mengandungi bahan daripada spesies dilindungi atau terancam, serta menjelaskan undang-undang dan peraturan yang mengawal selia penggunaan bahan-bahan berasaskan hidupan liar dalam amalan TCM. 

Beliau berkata libat urus terdahulu dengan sektor TCM mendedahkan wujud kekeliruan dalam industri berhubung undang-undang dan peraturan tentang penggunaan hidupan liar dilindungi dalam TCM.

“Kami menyasarkan untuk memberi pencerahan dan meningkatkan kesedaran tentang akibat buruk serta implikasi perundangan dalam mempreskrib atau menjual bahan berasaskan hidupan liar dilindungi,” katanya kepada Bernama.

“Buku ini juga mengandungi senarai haiwan liar dilindungi undang-undang serta tumbuhan yang biasa digunakan dalam industri TCM Malaysia, bagi membantu pengamal mengenal pasti bahan mana yang memerlukan permit atau perlu dielakkan sepenuhnya. Seksyen ini diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.”  

TRAFFIC telah menjalankan penyelidikan terperinci termasuk survei di kedai-kedai TCM seluruh Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak dalam tempoh 10 tahun lepas.

pic-5

“Kami menghimpunkan kajian ujian klinikal pakar-pakar perubatan Timur dari seluruh dunia bagi menghasilkan alternatif yang tidak mengandungi bahan daripada hidupan liar dilindungi sebaliknya menawarkan pengganti berasaskan tumbuhan yang lestari dan sah,” katanya.

Pegawai program TRAFFIC Leslie Tsen berkata mereka turut berbincang dengan industri TCM Malaysia dalam jangka masa yang lama bagi membangunkan garis panduan untuk membantu perniagaan menerima guna amalan lestari, daripada sekadar mengenakan sekatan ke atas mereka.

Pada 7 Mei 2024, TRAFFIC menganjurkan persidangan dihadiri oleh lebih 100 individu dalam industri TCM Malaysia termasuk pengamal, peniaga, pengeluar, ahli akademik serta pelajar berserta  wakil daripada 15 agensi kerajaan seperti Perhilitan, Bahagian Regulatori Farmasi Negara,  Bahagian Penguatkuasaan Farmasi serta Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari Kementerian Kesihatan.

“Kebanyakan mereka menyambut baik inisiatif kami untuk menghentikan perdagangan dan penggunaan hidupan liar bagi TCM dan mendapati buku panduan kami bermanfaat. Malah, kesemua 500 naskhah diedarkan sepanjang inisiatif.

“Pengamal TCM dari luar Lembah Klang turut meminta buku berkenaan sebagai rujukan penting bagi mengenal pasti spesies hidupan liar terancam berstatus pemuliharaan. Tenggiling misalnya, disenaraikan di bawah Apendiks I  Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora, bermakna haiwan ini dilarang sama sekali daripada didagangkan secara komersial di peringkat antarabangsa,” katanya. 

pic-6

Tambahnya, salinan lembut buku yang mengandungi 40 muka surat itu serta sumber-sumber lain tersedia dalam talian di  www.healersforthewild.com.

“Kami juga meningkatkan kesedaran awam melalui media sosial dan video dalam pelbagai dialek Cina, menampilkan pempengaruh, bagi memastikan pesanan tentang menghentikan pemburuan haram bagi kegunaan TCM dapat diakses dengan mudah.

“Dengan menjadikan pakar industri TCM  seperti FCPMDAM sebagai rakan kongsi, kempen kami lebih berkesan kerana industri lebih menerima dan pesakit juga umumnya lebih mempercayai nasihat pakar,” katanya.

 

PRODUK TIRUAN 

Sementara itu, dari segi penggunaan sisik tenggiling, China - pengguna terbesar sisik tenggiling - telah mengurangkan kuota bahan tersebut daripada 25,000 kilogram kepada cuma 1,000 kg, berserta langkah-langkah pemuliharaan yang diperhebat dan kawal selia lebih ketat dalam pembelian produk tersebut.

Walau bagaimanapun perkara ini menimbulkan kebimbangan lain - peningkatan dalam jualan ubat-ubat tradisional yang diperbuat daripada bahagian haiwan tiruan serta pembiakan artifisial tenggiling untuk tujuan komersial.

Menurut Presiden Persatuan Pengedar Ubat-ubatan Cina Kuala Lumpur dan Selangor Ma Kum Keong, sebahagian besar daripada industri TCM tempatan telah beralih daripada penggunaan dan penjualan produk berasaskan haiwan, terutamanya yang melibatkan spesies terancam, sejak lebih sedekad lalu.

Beliau berkata sejak penularan COVID-19, produk berasaskan sisik tenggiling telah berkurangan di  pasaran selepas China mengeluarkan ubat sedemikian daripada Pharmacopoeia.

(Pharmacopoeia ialah himpunan piawaian dan spesifikasi kualiti ubat-ubatan yang digunakan di sesebuah negara atau rantau, yang disahkan menurut undang-undang.)  

“Kebanyakan produk berasaskan tenggiling yang tersedia di pasaran dalam talian ialah produk tiruan dan tidak ada nombor siri. Mereka yang beli produk ini daripada platform terbabit berdepan risiko kesihatan kerana mereka mungkin mengalami kesan sampingan negatif selepas mengambil ubat-ubat tersebut.

“Ini kerana, untuk membeli secara sah produk berasaskan sisik tenggiling dari China, seseorang itu mesti menunjukkan dokumen pengenalan diri serta preskripsi daripada pengamal berlesen. Transaksi ini juga mesti dilaporkan kepada kerajaan China untuk tujuan rekod,” katanya.

pic-7

Di bawah pindaan Undang-undang Perlindungan Hidupan Liar China pada 2023, tenggiling diklasifikasikan sebagai haiwan dilindungi negara di bawah Kategori I, iaitu dilarang sama sekali ditangkap di habitat semula jadi.

Pakar pemuliharaan juga bimbang tentang pembiakan artifisial tenggiling bagi tujuan komersial yang berpotensi mewujudkan sumber “sah” bagi sisik tenggiling.

Erin Chong, aktivis Malaysia daripada Agensi Penyiasatan Alam Sekitar (EIA) berpangkalan di United Kingdom, berkata satu lagi kebimbangan daripada notis China itu ialah pembiakan artifisial bagi tujuan komersial yang boleh dianggap sebagai sumber “sah” sisik tenggiling.

Katanya, istilah yang digunakan dalam Undang-undang Perlindungan Hidupan Liar China pindaan 2023  membenarkan tenggiling (serta hidupan liar terancam lain) dibiakkan secara artifisial bagi tujuan melindungi relik budaya dan lain-lain keadaan khusus (yang tidak ditakrifkan). 

“Keadaan ini berpotensi menghasilkan permintaan berterusan dan mampan bagi produk berasaskan tenggiling, sepertimana yang kita lihat berlaku pada harimau,” katanya menerusi e-mel.

 

(Nota: Laporan ini ialah sebahagian daripada Macaranga Mentorship on Covering Wildlife Crime in Malaysia 2024, dan disokong oleh Internews Earth Journalism Network.) 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan