WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AIFA Terima 57,782 Pertanyaan Sejak Dilancarkan – MCMC

27/02/2025 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Chatbot kecerdasan buatan (AI) AIFA atau  'Artificial Intelligence Fact-check Assistant' yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 57,782 pertanyaan sejak dilancarkan pada 28 Jan lepas.

Timbalan Pengarah Urusan MCMC Datuk Zurkarnain Mohd Yasin berkata AIFA yang menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian serta membanteras ancaman siber seperti penipuan, berita palsu dan eksploitasi digital itu, secara purata menerima 2,140 mesej sehari.

Beliau berkata aplikasi itu antara pendekatan MCMC untuk mengupayakan masyarakat dengan membina dan mencorakkan pemikiran mereka supaya menyemak setiap berita atau fakta yang diterima terutama di platform dalam talian.

“Penyebaran berita palsu turut menjadi ancaman serius yang boleh menggugat keharmonian negara dan kita lihat kesan berita palsu ini mampu mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

“Selain AIFA, MCMC juga mengendalikan portal Sebenarnya.my, yang menerima lebih dua juta capaian setiap bulan bagi membantu rakyat menyemak ketepatan maklumat sebelum menyebarkannya,” katanya ketika menjadi panel dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Mengulas lanjut, Zurkarnain berkata keselamatan dalam talian kini menjadi cabaran besar yang melibatkan pelbagai aspek, termasuk perlindungan maklumat peribadi, keselamatan kanak-kanak serta ancaman terhadap ketenteraman awam dan ekonomi negara.

Beliau berkata modus operandi scammers kini semakin canggih, sebagai contoh ‘Love Scam’ yang sebelum ini hanya bergantung pada eksploitasi emosi, tetapi kini berkembang kepada pelaburan palsu yang mengakibatkan kerugian lebih besar kepada mangsa.

“Kita dapat lihat bagaimana penipuan dalam talian terus berevolusi dengan kerugian yang semakin besar. Mengikut statistik PDRM, kerugian akibat scam meningkat daripada RM1.2 bilion pada 2023 kepada RM1.5 bilion pada 2024,” katanya.

Beliau berkata MCMC bertindak proaktif menerusi langkah kawal selia, dengan memperkenalkan pelesenan kepada platform media sosial yang mempunyai lebih daripada lapan juta pengguna di Malaysia, selain meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memperkukuh penguatkuasaan dan pemeliharaan bukti.

“Langkah kawal selia bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, tetapi mahu memastikan platform digital bertanggungjawab terhadap kandungan yang dibenarkan beroperasi di negara ini. Langkah yang sama turut diambil oleh negara seperti United Kingdom, Australia dan Jerman.

“Bagaimanapun, persekitaran dalam talian yang selamat tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada penguatkuasaan kerana ia adalah tanggungjawab bersama. 

“Rakyat perlu peka, ibu bapa perlu memantau anak-anak mereka, dan individu harus mengambil langkah berhati-hati dalam dunia digital yang semakin kompleks ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan