WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pemain KDN FC Tetap Berjuang Walaupun Diuji Pelbagai Masalah - Rezal Zambery

27/02/2025 11:42 AM

KOTA BHARU, 27 Feb (Bernama) -- Penolong Ketua Jurulatih Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) Rezal Zambery Yahya memuji komitmen pemain mudanya yang tetap bersungguh-sungguh memberikan aksi terbaik walaupun skuad itu menghadapi pelbagai masalah musim ini.

Rezal Zambery berkata ketika ini tidak ada sesi latihan formal dijalankan, sebaliknya pemain hanya menjalani latihan sendiri bagi mengharungi baki saingan Liga Super.

"Namun, kita tidak mahu dikatakan sekadar beraksi untuk melengkapkan jadual perlawanan kerana perkataan itu tidak sesuai memandangkan pemain tetap menunjukkan semangat dan kesungguhan dalam setiap perlawanan bagi memperoleh kemenangan.

"Secara jujurnya, pemain saya tidak menjalani latihan secara formal sejak sekian lama, kita hanya turun bermain untuk perlawanan," katanya pada sidang media selepas perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhamad IV malam tadi.

Rezal Zambery berkata ketika ini tiada paksaan kepada pemain untuk menghadiri sesi latihan termasuk untuk tampil beraksi setiap perlawanan.

"Sekarang ini pemain beraksi untuk diri sendiri bagi meneruskan kerjaya mereka pada musim depan, sama ada untuk kekal bersama pasukan ini atau memikat pasukan lain dengan persembahan ditunjukkan.

"Apa yang penting, pemain perlu memikirkan masa depan dalam bola sepak kerana mereka masih muda dan mempunyai potensi," katanya.

Rezal Zambery berkata sebagai jurulatih, beliau bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyediakan pasukan bagi setiap perlawanan walaupun hakikatnya, KDN FC mempunyai pelbagai masalah.

"Saya tidak mahu menceritakan masalah kepada dunia luar walaupun apabila pasukan kalah teruk, orang pertikaikan jurulatih dan pemain," katanya.

Perlawanan Liga Super semalam menyaksikan KDN FC tewas 0-3 kepada Kuching City menerusi hatrik Jordan Mintah pada minit ke-3, 6 dan 59.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan