KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Jeli-Gerik berhampiran Tasik Banding awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau menzahirkan rasa dukacita atas insiden yang mengorbankan 15 nyawa pelajar, yang berlaku ketika mereka dalam perjalanan menimba ilmu.
“Kehilangan 15 nyawa muda dalam satu perjalanan ilmu merupakan satu dugaan yang amat besar. Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang. Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi saat yang sukar ini.
“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Saya juga mendoakan agar semua mangsa yang sedang menerima rawatan segera pulih dan diberi kesembuhan sepenuhnya,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau juga telah meminta laporan penuh daripada agensi-agensi berkaitan untuk tindakan susulan yang sewajarnya.
“Justeru, saya menyeru agar semua pihak dapat bersabar dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi melancarkan siasatan,” katanya.
Pusat Kawalan Operasi Daerah Angkatan Pertahanan Awam Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya 15 maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dan sebuah kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat Banun, berdekatan Tasik Banding, Gerik awal pagi tadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial