WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Peluang Malaysia 55 Peratus Untuk Kurangkan Tarif AS Kepada 15-19 Peratus - Apex Securities

17/07/2025 02:48 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Malaysia mempunyai peluang sebanyak 55 peratus untuk mengurangkan kadar tarif akhir Amerika Syarikat (AS) kepada julat 15 hingga 19 peratus daripada kadar semasa 25 peratus sekiranya mencapai persetujuan perdagangan yang positif, kata Apex Securities Bhd.

Menurut firma pembrokeran saham itu, perjanjian perdagangan AS-Indonesia baru-baru ini, yang menyaksikan tarif dikurangkan kepada 19 peratus daripada 32 peratus adalah isyarat yang memberangsangkan untuk Malaysia.

Keadaan ini menyokong pandangan bahawa Washington masih terbuka kepada rundingan sekiranya menawarkan konsesi yang bermakna, katanya.

Selepas Laporan Anggaran Perdagangan Nasional 2025 oleh Wakil Perdagangan AS mengenal pasti beberapa halangan struktur dalam perdagangan dan pelaburan di Malaysia, dasar kabotaj muncul sebagai aspek paling berkemungkinan untuk melakukan pembaharuan, katanya.

“Kami menjangkakan Malaysia berkemungkinan menawarkan rangka kerja bagi pengecualian kekal kapal asing yang terlibat dalam pembaikan kabel dasar laut di perairan Malaysia,” katanya menerusi nota penyelidikan hari ini.

Mengenai permohonan untuk menghapuskan sekatan pegangan ekuiti asing, Apex Securities berkata walaupun sektor seperti logistik dan pembinaan mungkin menyaksikan liberalisasi separa, industri yang lebih strategik seperti minyak dan gas, telekomunikasi, dan kewangan tidak mungkin diliberalisasikan berikutan pertimbangan berkaitan kedaulatan dan keselamatan negara.

"Bagi sektor automotif, liberalisasi sepenuhnya adalah tidak mungkin. Bagaimanapun, pengurangan tarif secara bersasar terhadap kenderaan buatan AS mungkin ditawarkan sebagai tukar ganti," katanya.

Mengenai perolehan kerajaan dan pensijilan halal, Apex Securities tidak menjangkakan perubahan pendirian memandangkan dasar bumiputera Malaysia merupakan isu sensitif dari segi politik dan dianggap sebagai tidak boleh dirundingkan.

“Konsesi yang paling munasabah mungkin melibatkan pemudahcaraaan proses pensijilan untuk memudahkan import daging dari AS,” katanya.

Apex Securities berkata berikutan kuasa rundingan yang terhad, Malaysia mungkin perlu mengubah strategi kepada peningkatan import barangan AS seperti gas asli cecair, komoditi pertanian seperti jagung dan kacang soya, pesawat Boeing, atau berkemungkinan aset pertahanan.

“Kerjasama dalam sektor baharu seperti teknologi nuklear atau reaktor modular kecil adalah munasabah tetapi dikekang oleh kos modal yang tinggi,” katanya.

Menurut firma pembrokeran itu, sekiranya senario asas berlaku, dengan tarif dikurangkan kepada 15 hingga 19 peratus, keputusan berkenaan akan membantu mengekalkan daya saing eksport Malaysia dan memelihara kestabilan makroekonomi.

 Ini sekali gus membawa kepada unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.1 hingga 4.2 peratus pada 2025.

Sementara itu, firma itu memberi kebarangkalian sebanyak 40 peratus kepada senario menurun, dengan tarif akhir kekal pada 20 peratus atau lebih tinggi.

“Sekiranya tarif mencapai sebanyak 25 peratus atau lebih tinggi, pertumbuhan KDNK boleh menyusut di bawah empat peratus terutamanya jika tarif berkaitan BRICS turut diperkenalkan serentak,” katanya.

Mengenai senario terbaik,  Apex Securities mengunjurkan kadar tarif adalah antara 10 hingga 14 peratus tetapi dengan kebarangkalian yang rendah.

“Keputusan (kadar tarif) di bawah 15 peratus amat memberikan manfaat, tetapi ini tidak mungkin berlaku (kemungkinan lima peratus) disebabkan kekangan politik domestik terhadap liberalisasi,” katanya sambil memaklumkan tarif 15 peratus akan meningkatkan pertumbuhan KDNK 2025 kepada 4.2 peratus.

Walaupun terdapat risiko jangka pendek, Apex Securities yakin bahawa asas ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan berikutan peranan pentingnya dalam sektor semikonduktor global dan mempunyai kelebihan berbanding negara serantau, terutamanya apabila negara ASEAN lain seperti Thailand dan Kemboja dikenakan tarif 36 peratus.

“Bagaimanapun, cabaran yang lebih besar akan berlaku pada 2026 dan selanjutnya, apabila ketegangan tarif yang tidak menentu, yang dimulakan oleh AS menjadi norma baharu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan