Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
MULHEIM AN DER RUHR (Jerman), 19 Julai (Bernama) -- Malaysia menempah slot ke peringkat suku akhir acara badminton berpasukan campuran pada Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 selepas mengatasi Perancis 3-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik di Westenergie Sporthalle di sini, hari ini.
Skuad badminton negara di bawah bimbingan legenda Datuk Rashid Sidek bagaimanapun berdepan tentangan sengit Perancis dalam setiap perlawanan sebelum berjaya menoktahkan kemenangan.
Beregu campuran Wee Yee Hern-Clarissa San yang kali pertama bergandingan, berjaya menyerap tekanan untuk menghadiahkan mata pertama dengan menundukkan gandingan Lucas Renoir-Flavie Vallet 15-13, 14-16, 15-12.
Momentum kemenangan itu diteruskan perseorangan lelaki Jacky Kok Jing Hong yang menewaskan Enogat Roy 17-15, 13-15, 15-11 dalam tempoh 43 minit untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Perseorangan wanita Wong Ling Ching kemudian memastikan kemenangan mutlak buat skuad negara apabila menyumbang mata ketiga selepas menumpaskan Romane Cloteaux-Foucault 15-10, 11-15, 15-13, meskipun terpaksa menahan kesakitan akibat kecederaan lama pada pergelangan tangan kanannya.
Malaysia akan bertemu India di suku akhir di sini, malam ini (awal pagi Ahad waktu Malaysia).
Bercakap kepada pemberita, Jacky mengakui banyak melakukan kesilapan yang memberi mata percuma kepada pihak lawan namun berazam untuk memperbaiki segala kelemahan menjelang pertembungan dengan India.
“Saya gembira dengan kemenangan ini sebab ia perlawanan yang sukar kerana saya pun dah lama tak bermain dalam kejohanan lawan pemain-pemain Eropah, mungkin sebab itu saya banyak buat kesilapan sendiri. Tapi saya mahu kurangkan kesilapan selepas ini,” kata penuntut Universiti Malaya itu.
Sementara itu, dalam saingan taekwondo, wakil negara Ahmad Nor Iman Hakim Rakib gagal mara ke pusingan 16 terbaik acara kyorugi lelaki -68 kilogram (kg) selepas kecundang di tangan wakil Taiwan Hao-Yu Hsu 2-0.
Dalam saingan renang pula, Goh Andrew Zheng Yen kempunan untuk ke peringkat separuh akhir acara 200 meter (m) kuak dada walaupun menamatkan saringan tiga di tempat kedua dengan catatan masa 2 minit 17.84 saat (s) di Schwimm-und Sprunghalle im Europasportpark, Berlin.
Dalam perkembangan berasingan, skuad olahraga yang selamat tiba semalam dijadualkan menjalani sesi latihan pertama di Lohrheidestadion, Bochum hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial