WILAYAH - TENGAH > BERITA

Rokok, Minuman Keras Tidak Bercukai Bernilai Lebih RM400,000 Dirampas Di Kulim

20/07/2025 11:58 PM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Polis merampas rokok dan minuman keras tidak dibayar cukai bernilai lebih RM400,000 serta seekor ular sawa jenis Ball python dalam serbuan di sebuah kedai runcit di Kulim, Kedah, Khamis lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata operasi pada 11 pagi oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dipercayai pemilik premis berkenaan.

"Selain 118,520 batang rokok, 333 botol dan tin minuman keras tidak dibayar cukai serta ular berkenaan, polis turut merampas 62 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dan wang tunai berjumlah RM35,000, dengan keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM416,668," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Seksyen 16 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Pihak berkuasa memberi jaminan bahawa tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah seperti ini demi menjaga kesejahteraan masyarakat dan kedaulatan undang-undang di negara ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan