WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PDRM Rampas Minyak Sawit, Ayam Sabung Bernilai RM3.9 Juta Di Sabah

21/07/2025 12:09 AM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Bahagian Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman merampas pelbagai barangan haram bernilai RM3.9 juta dalam dua operasi bersepadu di Lahad Datu dan Tawau, Sabah pada Khamis dan Jumaat lepas.

Pengarah JKDNKA Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata operasi pertama di Lahad Datu pada 7 petang Khamis yang dijalankan bersama pegawai penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)  menyerbu sebuah stor dalam ladang kelapa sawit serta menahan empat lelaki tempatan berusia 20 hingga 31 tahun.

"Antara yang dirampas sebuah kepala lori bersama tangki berisi 30,000 liter minyak sawit mentah, sebuah van, tiga pam minyak bermotor bersama hos dan tangga serta dram berisi minyak sawit mentah.

"Jumlah keseluruhan rampasan minyak sawit mentah dianggarkan seberat 30,148 tan dengan nilai pasaran RM152,090 dan nilai keseluruhan rampasan dalam operasi ini dianggarkan RM645,890," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azmi berkata kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan MPOB (Perlesenan) 2005 dan polis turut mengeluarkan lima saman (POL 257) atas kesalahan berkaitan kenderaan seperti LKM tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan tiada lesen memandu.

Sementara itu, dalam operasi kedua di Tawau pada 2.30 petang Jumaat, polis merampas sebanyak 622 ekor ayam sabung dan menahan seorang lelaki tempatan, dua lelaki warga Indonesia dan dua lelaki warga Filipina berusia sekitar 50-an. 

"Di lokasi pertama di Kampung Apas Parit dua lelaki warga Indonesia dan dua lelaki warga Filipina telah ditahan dan polis telah merampas sebanyak 470 ekor ayam sabung baka dipercayai dari Filipina, 40 bilah pisau taji ayam dan 180 unit vitamin dan 500 sangkar ayam.

"Di lokasi kedua di Kampung Membalua Off Jalan Apas, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan bersama 152 ekor ayam sabung dan nilai keseluruhan rampasan di dua lokasi ini dianggarkan bernilai RM3,287,708," katanya.

Menurut Azmi kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015, Seksyen 55B, 39B & 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 Akta Senjata Berbahaya 1958.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan