WILAYAH - UTARA > BERITA

Pulau Pinang Catat Penurunan Perokok

09/01/2026 03:45 PM

GEORGE TOWN,  9 Jan (Bernama) -- Pulau Pinang mencatatkan penurunan prevalens perokok dewasa sebanyak 15.2 peratus atau bersamaan 196,558 orang berdasarkan dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS).

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang Daniel Gooi Zi Sen berkata penggunaan rokok elektronik atau vape juga lebih rendah, iaitu sekitar tiga peratus atau kira-kira 38,000 orang.

“Angka itu lebih rendah berbanding banyak negeri lain sekali gus menunjukkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam penguatkuasaan, pendidikan kesihatan dan peningkatan kesedaran awam mula menunjukkan hasil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu, Gooi berharap pelaksanaan larangan terhadap rokok elektronik dapat menyumbang kepada penurunan lebih ketara terhadap tabiat merokok dalam kalangan rakyat negeri ini pada masa hadapan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dan syarikat penerbangan, terutamanya penerbangan antarabangsa dan pihak berkuasa lapangan terbang bagi memaklumkan larangan merokok di tempat awam di negeri itu.

“Penerbangan antarabangsa sudah lama memberi amaran tentang kesalahan serius seperti pengedaran dadah kepada penumpang dan kami mahu pengumuman serupa untuk mengingatkan merokok termasuk vape dilarang di kawasan ditetapkan termasuk di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

“Larangan itu selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852)," katanya.

Gooi berkata kerajaan negeri juga bersedia untuk mengikut sepenuhnya keputusan Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan larangan penjualan dan penggunaan vape.

Beliau berkata kerajaan negeri mengambil maklum pengumuman Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa satu memorandum Jemaah Menteri akan dibentangkan bagi tujuan melarang bukan sahaja penjualan, malah penggunaan rokok elektronik secara menyeluruh.

“Kerajaan negeri bersedia untuk bersama-sama dengan KKM. Sekiranya Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan larangan bukan sahaja terhadap penjualan tetapi juga penggunaan rokok elektronik, kita akan turut mengikut pelaksanaan tersebut,'' katanya.

Berhubung maklum balas pemain industri vape, Gooi berkata pelbagai sesi libat urus dan perbincangan telah diadakan pada peringkat negeri dan kementerian bagi memberi ruang kepada pandangan industri sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Kita sedar industri ini mempunyai kepentingan ekonomi namun pandangan mereka telah didengar melalui sesi libat urus. Keutamaan terhadap kesihatan rakyat tidak boleh dikompromi kerana rokok termasuk vape membawa risiko kesihatan serius dan kesan jangka panjang terhadap masyarakat serta sistem kesihatan negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan