IPOH, 10 Jan (Bernama) -- Pekebun durian di Perak tidak menghadapi masalah lambakan kerana sentiasa menerima permintaan tinggi daripada penggemar buah berkenaan sama ada untuk pasaran tempatan mahupun eksport.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak Azleena Zainal Abidin berkata sama ada durian kampung atau klon, pengeluaran raja buah di negeri ini masih seiring dengan kehendak pasaran.
"Kita sentiasa menerima permintaan yang tinggi dari China, Hong Kong dan Singapura. Kita mengeksport kira-kira 100 hingga 200 tan metrik durian setiap kali proses penghantaran ke negara-negara berkenaan.
"Pada tahun lepas, FAMA menerima bekalan daripada pekebun durian melebihi 500 tan metrik untuk dipasarkan ke seluruh negara termasuk dieksport," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Program Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan dan Promosi Durian yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun di Pasar Tani Kampung Simee.
Azleena berkata tiga lokasi pengeluaran durian pelbagai varieti di Perak yang terbesar adalah di Batu Kurau, Kampung Gajah dan Tapah.
Sementara itu, Mohd Zolkafly berkata pelaksanaan Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan dan Promosi Durian mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan pekebun serta kesejahteraan pengguna.
"Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan menilai situasi sebenar di peringkat ladang, menstabilkan harga serta melonjakkan permintaan terhadap durian tempatan.
"FAMA negeri turut memaklumkan pembelian durian akan diteruskan selagi terdapat bekalan. Hasil durian yang dibeli akan dipasarkan melalui saluran pemborong dan peruncit di seluruh negeri selain jualan langsung di Pusat Operasi FAMA," katanya.
Mohd Zolkafly berkata pelaksanaan kempen ini selari dengan objektif FAMA untuk meningkatkan permintaan durian tempatan, menstabilkan harga di peringkat ladang serta memperkukuh rantaian pemasaran komoditi durian melalui penglibatan aktif pemain industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial