GEORGE TOWN, 11 Jan (Bernama) -- Penang FC melakar kemenangan bergaya apabila membenam Melaka FC 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, petang ini.
Skuad Harimau Kumbang bermula garang dengan menguasai permainan sejak awal, apabila kapten pasukan Stefano Brundo membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi sepakan percuma dari jarak jauh, menewaskan Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil.
Lima minit kemudian, Stefano menggandakan jaringan buat Penang FC selepas menolak masuk bola yang berada di atas garisan, selepas berlaku situasi kelam-kabut di hadapan gawang.
Penang FC terus menjarakkan kedudukan dua minit kemudian melalui penyerang sensasi dari Australia, Dylan Wenzel-Halls yang berjaya memintas hantaran pendek pertahanan Melaka FC , lalu menyepak masuk gol ketiga perlawanan sebelum meledak gol keempat pada minit ke-14.
Empat gol dalam tempoh 14 minit itu jelas memberi tekanan kepada skuad kendalian E. Elavarasan, yang gagal bangkit apabila percubaan Muhammad Aiman Danish Abdul Azim pada penghujung babak pertama tidak menemui sasaran, sekali gus menyaksikan kedudukan kekal 4-0 sehingga wisel dibunyikan.
Bersambung babak kedua, Melaka FC yang baharu melakukan rombakan barisan kejurulatihan dilihat cuba mengatur serangan bagi mencipta peluang jaringan, namun ketumpulan penyudah menafikan mereka daripada memperoleh gol.
Sebaliknya Penang FC dilihat terus mengasak dan memperoleh beberapa peluang untuk menambah jaringan, tetapi berjaya dihalang penjaga gawang.
Ketegangan tercetus pada minit ke-67 antara penjaga gol Penang FC Mohamad Ramadhan Ab Hamid dengan pemain Melaka FC, yang didakwa melakukan terjahan menyebabkan dia dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan.
Pertahanan dari Nigeria Faith Friday Obilor melengkapkan kemenangan besar Penang FC apabila merembat masuk gol kelima pada minit ke-85.
Kemenangan berkenaan meletakkan Penang FC di tangga kesembilan dengan memintas pasukan Sabah dengan kelebihan satu jaringan meskipun berkongsi 14 mata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial