KUCHING, 15 Jan (Bernama) -- AirBorneo telah melengkapkan peralihan Sistem Kawalan Perlepasan (DCS) dan kini beroperasi di bawah kod penerbangannya sendiri, MY, menandakan peristiwa penting dalam transformasi syarikat penerbangan itu kepada kebebasan operasi penuh.
Syarikat penerbangan perkhidmatan penuh milik kerajaan Sarawak itu melalui satu kenyataan berkata semua penerbangan yang sebelum ini beroperasi di bawah penetapan siri MH kini dipaparkan sebagai penerbangan siri MY, secara rasmi mewujudkan identiti tersendiri AirBorneo di semua 21 lapangan terbang di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Penerbangan pertama yang beroperasi di bawah kod MY adalah dari Miri ke Labuan pada 6.15 pagi semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata kejayaan peralihan DCS dan pengenalan Penerbangan MY3220 sebagai perkhidmatan pertamanya di bawah kod MY mengemukakan bukti mengenai apa yang boleh dicapai menerusi kepimpinan secara kolaboratif dan perkongsian wawasan.
"Pencapaian ini juga meletakkan asas penting untuk bab seterusnya kami iaitu pelancaran Operasi Jet AirBorneo pada Julai, mengukuhkan infrastruktur kami, meluaskan jangkauan dan meningkatkan pengalaman perjalanan untuk penumpang kami,” katanya.
Menurut kenyataan itu, peralihan ini mewakili salah satu pencapaian operasi paling ketara sejak AirBorneo mula beroperasi pada 2 Jan 2026.
Kejayaan penghijrahan DCS membolehkan AirBorneo beroperasi dengan autonomi teknikal penuh daripada sistem MASwings.
"Kaunter daftar masuk lapangan terbang, pengendalian bagasi dan semua perkhidmatan yantg berkaitan penumpang beroperasi seperti biasa semasa tempoh peralihan ini, dengan penyelarasan dikekalkan di seluruh pengendali lapangan terbang dan pemegang kepentingan utama.
"Penempatan serentak di 21 lapangan terbang, memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar termasuk operasi Twin Otter ke landasan udara terpencil, menonjolkan kesediaan operasi serta keupayaan teknikal AirBorneo," tambahnya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial