WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Boling Padang: Persaingan Wakili Negara Ke Glasgow 2026 Semakin Sengit

20/02/2026 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) menjadikan dua kejohanan utama iaitu Kejohanan Boling Padang Asia di New Delhi dan siri perlawanan ujian pada April ini sebagai platform pemilihan atlet terbaik ke Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Presiden PLBM Datuk Awalan Abdul Aziz berkata badan induk itu masih belum memuktamadkan senarai pemain selepas semua atlet mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam beberapa kejohanan sebelum ini. 

Beliau berkata PLBM telah menghantar senarai panjang atlet kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan akan memperincikannya pada Mei ini berdasarkan prestasi pada kedua-dua kejohanan tersebut.  

“Buat masa ini, enam pemain lelaki dan enam pemain wanita daripada program podium akan dihantar menyertai siri ujian tersebut. Namun, hanya tiga lelaki dan tiga wanita akan dipilih untuk mengisi senarai akhir ke Sukan Komanwel,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja di Bukit Jalil, hari ini.

Awalan berkata persaingan sihat antara para pemain semakin sengit apabila setiap atlet menunjukkan peningkatan prestasi yang konsisten.

Katanya Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara yang berakhir Rabu lepas turut menyaksikan beberapa keputusan mengejutkan termasuk kejayaan Nor Farah Ain Abdullah menewaskan juara dunia yang disifatkannya sebagai satu perkembangan positif buat skuad kebangsaan.

“Pemilihan bukan hanya berdasarkan satu kejohanan sahaja sebaliknya kita akan menilai tahap konsistensi mereka dari satu pertandingan ke satu pertandingan,” katanya.

Sukan Komanwel Glasgow 2026 akan berlangsung pada 23 Julai hingga 2 Ogos ini. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan