WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Empat Warga China Dipenjara 14 Hari, Denda RM250 Miliki Alat Pecah Rumah

22/05/2026 02:23 PM

KANGAR, 22 Mei (Bernama) -- Empat lelaki warga China dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM250 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki pelbagai peralatan pecah rumah tanpa alasan yang sah, awal bulan ini.

Majistret Nurul Natasha Rizal memerintahkan Chen Yufeng, 52, Peng Yongjian, 46, Liu Huazai, 51, dan Wang Jianghua, 45, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap, iaitu 13 Mei.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua lelaki itu dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mereka didakwa memiliki peralatan pecah rumah iaitu empat batang besi dan masing-masing sebatang sepana boleh laras, pemotong, playar, pemutar skru dan alat berbentuk 'T' yang dicanai disyaki digunakan sebagai kunci induk.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Bukit Kaya Indah 6, Taman Bukit Kaya Indah di sini antara 7.30 malam 7 Mei hingga 7.30 pagi 8 Mei.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 28(i)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala semua lelaki itu tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan