WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Iran Setuju Rancangan Akhiri Pertempuran, Buka Semula Selat Hormuz

24/05/2026 09:19 AM

ISTANBUL, 24 Mei (Bernama-Anadolu) -- Iran bersetuju dengan pelan draf bagi menamatkan pertempuran dan membuka semula Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi memetik The New York Times pada Sabtu.

Memetik tiga pegawai kanan Iran, laporan itu menyatakan pelan yang dicadangkan akan menghentikan pertempuran di semua medan termasuk di Lubnan, dengan tumpuan utama diberikan kepada pembukaan semula Selat Hormuz.

Cadangan itu termasuk menarik balik sekatan laut Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran serta membenarkan perkapalan komersial melalui laluan strategik itu tanpa sekatan dan tanpa Iran mengenakan tol, menurut akhbar itu.

Isu berkaitan program nuklear Iran, yang menjadi antara perkara paling dipertikaikan dalam rundingan, akan ditangguhkan untuk rundingan berasingan dalam tempoh 30 hingga 60 hari.

Cadangan itu turut melibatkan pelepasan aset Iran bernilai US$25 bilion yang dibekukan di luar negara, menurut laporan itu.

Pengantara dari Pakistan dan Qatar memudah cara draf perjanjian itu, menurut akhbar berkenaan.

Terdahulu pada Sabtu, Presiden AS Donald Trump berkata perjanjian dengan Iran “sebahagian besarnya sudah dirunding”, sambil menambah bahawa butiran akhir masih dibincangkan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan