WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Simpan Duit Raya Dalam TH Sejak Kecil, 10 Beradik Tunai Haji Bersama

24/05/2026 09:54 AM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

MAKKAH, 24 Mei (Bernama) -- Ketika ramai kanak-kanak menggunakan duit raya untuk membeli keperluan atau menyimpan bagi kegunaan sendiri, 12 beradik dari Perak membesar dengan amalan berbeza apabila wang yang diterima setiap Aidilfitri dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji (TH) masing-masing.

Amalan yang dimulakan oleh ibu bapa mereka lebih dua dekad lepas itu akhirnya membuahkan hasil apabila 10 daripada 12 adik-beradik itu bersama dengan enam pasangan mereka kini berada di Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji musim 1447H/2026M.

Muhammad Huzair Zakhal, 39, berkata ibu bapanya mula merancang simpanan haji untuk kesemua anak sejak mereka masih kecil dengan membuka akaun TH dan menyalurkan simpanan bulanan secara konsisten.

"Kami tidak pernah melihat duit raya sebagai wang untuk dibelanjakan kerana kebanyakannya akan dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji.

"Semasa kecil mungkin kami tidak faham, tetapi sekarang kami sedar itu antara usaha awal mak ayah untuk memastikan kami mempunyai simpanan bagi menunaikan haji suatu hari nanti," katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Dia berkata selain duit raya, ibunya, Azizah Zaudi, 69, turut menyimpan RM10 sebulan bagi setiap anak sebelum meningkatkan jumlah itu kepada RM20 mengikut kemampuan keluarga.

Usaha itu diteruskan sehingga kesemua adik-beradik berjaya mendaftar haji pada 2009. Bagaimanapun, apabila menerima panggilan haji bagi musim ini, sebahagian daripada mereka masih perlu berusaha menambah simpanan bagi melengkapkan kos perjalanan.

"Ada yang belum cukup simpanan ketika panggilan diterima. Kami fikir mungkin ada yang perlu tangguh dahulu, tetapi mak tetap mahu melihat anak-anaknya pergi bersama-sama dan membantu apa-apa yang perlu," katanya.

Muhammad Huzair berkata dua lagi adik-beradiknya, iaitu kakak sulung mereka telah menunaikan haji pada tahun lepas, manakala seorang lagi adik yang mempunyai masalah kesihatan tidak dapat menyertai rombongan kali ini.

Selain aspek kewangan, Muhammad Huzair berkata ibu bapanya turut menekankan pendidikan agama sejak kecil termasuk pengajian al-Quran, hadis dan kepentingan menjaga hubungan kekeluargaan.

Nilai yang diterapkan itu, katanya, terus diamalkan hingga hari ini dan menjadi antara faktor yang mengeratkan hubungan sesama adik-beradik walaupun masing-masing telah berkeluarga.

"Sepanjang berada di Tanah Suci, kami bukan sahaja dapat beribadah bersama-sama, tetapi turut meluangkan masa dengan adik-beradik yang jarang dapat berkumpul dalam jumlah yang besar di Malaysia," katanya.

Muhammad Huzair berkata pengalaman menunaikan haji secara beramai-ramai turut mendorong generasi seterusnya meneruskan budaya menabung yang diamalkan keluarga mereka.

Malah, kebanyakan anak dalam keluarga mereka kini sudah mempunyai akaun Tabung Haji sendiri dan sebahagiannya telah didaftarkan untuk menunaikan haji pada masa depan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan