WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Aidiladha Ke Gawai, Cuti Panjang Rai Kepelbagaian Budaya Di Malaysia

24/05/2026 10:14 AM

Oleh N.Kuvineshwaren

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Malaysia bakal menyaksikan "kemeriahan luar biasa" bulan depan apabila rakyat pelbagai kaum dan agama bersiap sedia menyambut beberapa perayaan utama yang jatuh hampir serentak dalam tempoh musim cuti sekolah.

Sambutan perayaan bermula pada 27 Mei apabila umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha yang kemudiannya disusuli penganut Buddha meraikan Hari Wesak (31 Mei), manakala masyarakat Kadazandusun serta Dayak pula masing-masing menyambut Pesta Kaamatan (30 dan 31 Mei) serta Hari Gawai (1 dan 2 Jun), yang jelas menunjukkan keunikan kepelbagaian budaya Malaysia.

Kehangatan suasana itu ditambah pula dengan sambutan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 1 Jun, sekali gus menjanjikan deretan cuti panjang yang pastinya dimanfaatkan rakyat untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Bagi pekerja sektor acara, Nurfatihah Sagir, 27, sambutan Aidiladha kali ini amat dinantikan kerana ia menjadi peluang untuknya "menebus" kerinduan terhadap keluarga setelah tidak berkesempatan pulang pada Aidilfitri lalu, selain akan menyertai ibadah korban bagi menghayati erti pengorbanan serta keinsafan.

“Saya berharap Aidiladha kali ini menjadi detik yang penuh bermakna, bukan sahaja untuk mengeratkan silaturahim tetapi juga mengingatkan saya tentang nilai kekeluargaan dan kebersamaan,” katanya.

Turut senada, pekerja swasta Wong Yee Tian, 26, menyifatkan sambutan Wesak sebagai ruang terbaik untuk beliau meluangkan masa bersama keluarga selain menyertai aktiviti keagamaan di tokong.

“Cuti panjang seperti ini memang dinanti-nantikan kerana kami dapat berehat dan berkumpul bersama keluarga. Dalam masa sama, kita juga dapat melihat rakyat pelbagai kaum sama-sama bercuti dan melancong,” katanya.

Bagi pelajar universiti awam, K. Viggneshwary, 21, yang berasal dari Kulim, Kedah, beliau tekad memanfaatkan cuti tersebut untuk pulang ke kampung.  

Beliau berkata walaupun harga tiket bas dan tren meningkat sepanjang musim cuti, peluang untuk pulang ke kampung tetap dimanfaatkan untuk berkumpul bersama keluarga.

Bagi wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Lucia Terey John, 39, pula musim cuti dan sambutan Hari Gawai kali ini amat bermakna kerana memberinya peluang pulang ke kampung halaman di Sarawak untuk berkumpul bersama keluarga.

“Peluang untuk pulang menyambut Hari Gawai bersama keluarga di kampung memang sangat bermakna buat saya kerana biasanya saya hanya dapat balik sekali setahun,” katanya.

Susulan cuti umum yang panjang ini sektor pelancongan domestik turut menerima limpahan rahmat dengan peningkatan tempahan bilik hotel yang ketara di lokasi tumpuan apabila ramai rakyat tempatan juga mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga.

Sementara itu dalam kegembiraan meraikan perayaan, pakar ekonomi mengingatkan masyarakat agar tidak terleka dalam menguruskan dompet masing-masing.

Profesor Madya Kewangan Kajian Perniagaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Madya Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata perbelanjaan berhemat penting memandangkan ketidaktentuan ekonomi global dan faktor harga minyak dunia yang tidak menentu.

Beliau berkata walaupun ekonomi negara kekal stabil, rakyat perlu lebih berhati-hati dalam menguruskan kewangan memandangkan kenaikan kos sara hidup ketika ini dilihat bergerak hampir seiring dengan kadar peningkatan pendapatan.

“Kita tidak dapat mengawal harga minyak dunia atau ketidaktentuan ekonomi global, namun kita boleh mengawal cara kita berbelanja dan mengurus kewangan keluarga,” katanya.

Beliau turut menyarankan rakyat agar mengutamakan keperluan berbanding kehendak, serta mengelakkan hutang pengguna yang tidak perlu seperti penggunaan skim 'beli sekarang bayar kemudian' (BNPL) untuk barangan bukan keperluan.

Katanya, tabiat membandingkan harga, menggunakan insentif pembayaran digital dan menyediakan tabung kecemasan juga penting dalam membantu rakyat menghadapi sebarang ketidaktentuan ekonomi pada masa depan.

“Ekonomi negara akan menjadi lebih kukuh apabila rakyat berbelanja secara bijak dan berhemat, selaras dengan seruan kerajaan supaya masyarakat mengamalkan pengurusan kewangan yang baik demi kesejahteraan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu juga selari dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat mengamalkan budaya perbelanjaan berhemat dan mengurus kewangan secara lebih lestari dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan