Oleh Siti Maisarah Ahmad
GUA MUSANG, 24 Mei (Bernama) -- Amalan tradisi memakan sirih yang sebati dengan budaya serta identiti Orang Asli kini semakin terhakis dalam kalangan generasi muda, khususnya yang tinggal berdekatan kawasan pinggir bandar.
Penghulu Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis Blok A, Rodzi Asod berkata budaya mengunyah sirih tidak lagi dihidupkan oleh golongan tua di penempatannya sehingga menyebabkan generasi muda di kawasannya tidak didedahkan dengan amalan berkenaan.
"Masyarakat Orang Asli kalau zaman 80-an dulu ada yang makan sirih tetapi sekarang sudah tiada orang tua di Kuala Betis yang makan sirih.
"Makan sirih ini dia ikut keturunan, kalau datuk nenek makan sirih jadi anak cucu pun akan ikut sama tapi zaman sekarang sudah berubah," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Gob Hady Liman berkata penduduk di beberapa kampung yang tinggal di kawasan pedalaman seperti Pos Gob, Pos Simpor, Pos Belatim dan Pos Balar masih lagi menjadikan sirih sebagai kudapan harian mereka.
"Kami memakan sirih sekurang-kurangnya dua kali sehari, malah rasanya juga dapat dipelbagaikan menggunakan sumber alam semula jadi seperti menggunakan siput sedut untuk dijadikan kapur sirih," katanya sambil menambah hirisan batang ‘kalog’ dan daun kacu sebagai perasa tambahan.
Beliau berkata sirih dipercayai mempunyai banyak kebaikan terhadap badan antaranya menguatkan gigi dan tidak menjadikan mereka mudah mengantuk serta penat ketika bekerja.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Mohamad Hafis Amat Simin berkata amalan tradisi mengunyah sirih oleh suku kaum ini berpotensi terhakis sekiranya tidak diamalkan kerana tiada penerusan legasi.
"Lokasi penempatan sangat mempengaruhi amalan tradisi makan sirih, contohnya masyarakat di RPS Kuala Betis banyak bercampur dengan komuniti luar dan ramai yang sudah berhijrah keluar. Ada juga kawasan yang banyak terdedah dengan pembalakan dan pembukaan ladang sawit serta kebun durian yang mengakibatkan bahan sirih sukar didapati.
"Di Tanah Tinggi Lojing pula, masih ada suku Temiar yang mengamalkan makan sirih, khususnya warga emas berbanding belia. Kebanyakan belia sudah tidak lagi mengamalkannya kerana perubahan gaya hidup, bekerja di sektor pelancongan dan menetap di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur," katanya.
Mereka yang tinggal di kawasan pedalaman mempunyai kelebihan untuk memperoleh sumber bahan sirih dan mengamalkannya kerana penerokaan hutan masih kurang berlaku.
Beliau yang aktif dalam penyelidikan berkaitan antropologi dan sains berkata usaha menurunkan legasi amalan makan sirih kepada generasi muda penting bukan semata-mata untuk mengekalkan satu tabiat, tetapi sebagai usaha memelihara identiti budaya, memori kolektif dan pengetahuan tradisional masyarakat.
"Kemungkinan amalan mengunyah sirih semakin berkurangan memang wujud, tetapi sama ada ia ‘terkubur’ atau berubah menjadi simbol identiti budaya bergantung kepada sejauh mana masyarakat Orang Asli ini mewariskan dan mentafsir semula warisan itu kepada generasi akan datang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial