WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anggota Tentera Mengaku Tidak Bersalah Aniaya Anak

24/05/2026 11:53 AM

KOTA BHARU, 24 Mei (Bernama) -- Seorang anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak lelakinya, dua tahun lepas.

Zainudin Zainal Abidin, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun satu bulan dengan cara menendang perut dan menampar muka sehingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal dan gangguan emosi di sebuah rumah di Kampung Kijang, di sini kira-kira 7.30 malam pada 11 Mei 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Kamilah Che Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Samsul Bahrin.

Terdahulu, Nur Kamilah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, manakala Samsul memohon jaminan rendah diberikan kepada anak guamnya.

Mahkamah membenarkan Zainudin diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan