KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Kapten skuad sepak takraw negara Amirul Zazwan Amir mengakui beliau masih mahu meneruskan aksi final acara regu berpasukan Piala Dunia 2026 menentang Thailand, meskipun berlaku kontroversi ketika perlawanan malam tadi.
Bagaimanapun, beliau berkata sebagai pemain perlu menghormati arahan jurulatih dan pengurusan pasukan yang bertindak berdasarkan situasi tegang ketika aksi kemuncak di Stadium Titiwangsa itu.
Malaysia dinobatkan juara regu berpasukan selepas Thailand bertindak menarik diri susulan tidak berpuas hati dengan keputusan yang membatalkan mata Thailand ketika mereka mendahului 14-13 pada set kedua.
Keputusan pengadil dibuat berdasarkan kesalahan pemain Thailand yang melebihi garisan bawah jaring, dan berdasarkan peraturan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) tiada bantahan boleh dilakukan atas kesalahan kaki terlebih garisan bawah jaring kecuali, bantahan melebihi jaring, servis dan garisan tepi.
Insiden itu menyebabkan aksi tertangguh selama setengah jam, sebelum regu ketiga Malaysia diberikan kemenangan percuma, sekali gus muncul juara dengan kemenangan tipis 2-1.
“Kalau ikut hati, saya boleh sahaja terus berlawan dengan mereka, tiada masalah. Tetapi saya pemain, saya kena ikut apa yang jurulatih dan pengurusan pasukan putuskan,” katanya kepada pemberita malam tadi.
Amirul Zazwan berkata Malaysia sebelum ini pernah beberapa kali tewas kepada Thailand dan kemenangan kali ini amat bermakna buat skuad negara selain menjadi penebus kekecewaannya selepas gagal membantu Malaysia ketika kempen 2024.
“Saya rasa ini satu sejarah untuk pasukan sepak takraw negara. Pada 2024 saya gagal, tetapi hari ini saya dapat memberi kemenangan kepada negara. Saya bersyukur kepada semua yang mendoakan kami,” katanya
Sementara itu, Amirul Zazwan berkata walaupun aksi final berlangsung sengit, kedua-dua pasukan tidak mempamerkan permainan terbaik masing-masing.
“Permainan kami tidak seratus peratus, begitu juga mereka. Tetapi kami sedikit lebih baik kerana pertahanan kami cukup kuat malam ini,” katanya.
Amirul berkata skuad negara kini mahu mempertahankan momentum cemerlang itu menjelang saingan Piala Raja Thai dan Sukan Asia akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial