ISTANBUL, 24 Mei (Bernama-Anadolu) -- Kumpulan Hizbullah Lubnan pada Ahad berkata pihaknya melancarkan 12 serangan dalam tempoh 24 jam lalu terhadap tentera Israel di selatan Lubnan dan utara Israel, lapor Anadolu Ajansi.
Ia termasuk serangan terhadap kenderaan tentera, sistem gangguan dron dan pelancar milik sistem pertahanan udara Iron Dome Israel.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata serangan berkenaan dilakukan sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata oleh Israel serta serangan ke atas kampung-kampung di selatan Lubnan.
Hizbullah berkata pihaknya menyasarkan sebuah kenderaan kejuruteraan tentera Israel menggunakan dron di bandar Bint Jbeil, selatan Lubnan.
Kumpulan itu turut berkata pihaknya menyerang sebuah peranti teknikal dan kenderaan komando di lokasi Jal Al-Allam di utara Israel, sambil mendakwa serangan itu mengenai sasaran secara langsung.
Menurut Hizbullah, pihaknya mengesan dan menyasarkan sebuah dron Heron 1 Israel di ruang udara wilayah Bekaa, Lubnan menggunakan peluru berpandu permukaan ke udara, sekali gus memaksa dron itu beredar dari kawasan berkenaan.
Kumpulan itu berkata pihaknya menyasarkan empat pelancar Iron Dome di berek Branit dan Ramim, selain tiga sistem gangguan antidron Drone Dome di Nimr Al-Jamal, Al-Jardah dan Naqoura.
Hizbullah turut berkata pihaknya menyasarkan kumpulan tentera Israel di Deir Siryan dan Bayyada menggunakan artileri serta dron.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dron Hizbullah khususnya model berpandukan gentian optik semakin menimbulkan kebimbangan di Israel kerana sukar dikesan dan dipintas.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyifatkan dron itu sebagai “ancaman besar” dan menggesa tentera membangunkan kaedah untuk menanganinya.
Lebih 3,100 orang terbunuh dan 1.6 juta lagi hilang tempat tinggal dalam serangan terbaharu Israel di Lubnan yang bermula 2 Mac.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial