WILAYAH - SARAWAK > BERITA

California Isytihar Darurat Di Orange County Susulan Insiden Kimia

24/05/2026 02:30 PM

LOS ANGELES, 24 Mei (Bernama-Xinhua) -- Gabenor California Gavin Newsom pada Sabtu mengisytiharkan darurat di Orange County ketika pasukan kecemasan berusaha menyejukkan sebuah tangki yang mengandungi bahan kimia industri mudah meruap di sebuah kemudahan pembuatan aeroangkasa di Garden Grove, lapor Xinhua.

“Keselamatan penduduk Orange County menjadi keutamaan,” kata Newsom dalam satu kenyataan.

California mengerahkan semua sumber yang ada bagi menyokong pasukan tindak balas dan komuniti terjejas, kata beliau.

Perintah darurat itu membolehkan negeri berkenaan menggerakkan sumber tambahan dan mempercepat penyelarasan antara agensi tempatan, negeri dan persekutuan yang bertindak balas terhadap krisis di loji GKN Aerospace di Garden Grove, ketika sebuah tangki yang mengandungi metil metakrilat (MMA) kekal pada suhu tidak stabil sejak beberapa hari lalu.

MMA ialah bahan kimia industri yang sangat mudah terbakar, digunakan dalam plastik akrilik dan pembuatan aeroangkasa.

Keadaan menjadi semakin mendesak apabila suhu di dalam tangki yang terjejas terus meningkat, daripada 25 darjah Celsius sehari sebelumnya kepada kira-kira 32.22 darjah Celsius.

Pegawai bomba memberi amaran bahawa peningkatan suhu itu boleh membawa kepada dua kemungkinan utama iaitu tangki boleh pecah lalu menyebabkan kebocoran bahan kimia toksik, atau meletup dan berpotensi menyebabkan tangki bahan kimia lain berhampiran turut pecah.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan