WILAYAH - TENGAH > BERITA

Kementerian Komunikasi Sedia Bincang Dengan TikTok Bantu Media Jana Pendapatan - Fahmi

24/05/2026 04:43 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Kementerian Komunikasi bersedia mengadakan perbincangan dengan TikTok bagi membolehkan organisasi media di Malaysia menjana pendapatan menerusi kandungan penstriman langsung yang disiarkan di platform berkenaan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata organisasi media seharusnya diberikan peluang memperoleh pulangan daripada jumlah penonton yang mengikuti kandungan menerusi platform rasmi mereka.

“Ramai rakan media bertanya mengapa mereka tidak dapat menjana pendapatan daripada siaran langsung yang mereka lakukan dan saya ingin menyampaikan mesej daripada Ketua-ketua Pengarang kepada Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia supaya perkara ini dapat dipertimbangkan.

“Organisasi media merasakan terdapat keperluan untuk mereka mencari sumber pendapatan daripada   siaran langsung dan kandungan dihasilkan, yang pada pandangan saya mempunyai kualiti sangat tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Sambutan Festival Belia @ Hari Belia Negara 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Fahmi berkata isu berkenaan bukan hanya melibatkan TikTok kerana kebanyakan platform media sosial turut mendapat manfaat daripada kandungan yang dihasilkan organisasi media dan akaun media rasmi.

Bagaimanapun, beliau berkata Ketua-ketua Pengarang memaklumkan terdapat platform tertentu  termasuk TikTok tidak membenarkan organisasi media menjana pendapatan atau memperoleh pulangan daripada kandungan yang diterbitkan.

“Jadi saya memohon dan saya bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan TikTok bagi melihat apa yang boleh dilakukan untuk membantu organisasi media di Malaysia.

“Jika sesebuah organisasi media mengadakan siaran langsung yang menarik puluhan ribu atau ratusan ribu penonton melalui akaun rasmi mereka, tetapi penonton tidak dapat memberikan hadiah maya atau sumbangan kewangan walaupun mereka menonton kerana jenama media itu sendiri, maka seharusnya ada bentuk pulangan daripada platform seperti TikTok,” katanya.

Beliau berkata kementerian akan terus bekerjasama dengan platform media sosial bagi memastikan ekosistem media negara dapat berkembang secara mampan, termasuk meneroka model penjanaan pendapatan yang lebih sesuai untuk organisasi media tempatan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan