WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Masters 2026: Pasangan Denmark Sekat Impian Sze Fei-Nur Izzuddin Raih Gelaran Pertama

24/05/2026 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Hasrat gandingan profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani untuk meraih gelaran pertama musim ini tidak kesampaian apabila tewas kepada wakil Denmark Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada perlawanan akhir Malaysia Masters 2026 hari ini.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Arena Unifi di sini, Sze Fei-Nur Izzuddin bermula agak goyah dengan ketinggalan 0-7 sebelum bangkit mengutip enam mata berturut-turut dan mendahului pada kedudukan 11-10.

Bagaimanapun, momentum kebangkitan itu tidak kekal lama, sekali gus memberi peluang untuk pasangan Denmark memenangi set pertama 21-16.

Set kedua menyaksikan gandingan ranking kesembelian dunia itu kembali memperkemas permainan untuk mendahului selesa 8-4.

Namun skrip sama berulang apabila Lundgaard-Vestergaard kembali menyamakan kedudukan 12-12 sebelum menutup perlawanan itu dengan kemenangan 21-17.

Kemenangan itu menyaksikan pasangan Denmark membawa pulang wang tunai  kira-kira USD37,525 (RM148,900).

Sementara itu, Sze Fei-Nur Izzuddin mengakui kekalahan mereka berpunca daripada permainan lebih baik dipamerkan lawan selain kegagalan menukar corak permainan pada masa tepat.

Nur Izzuddin berkata pihak lawan memberi tekanan berterusan dari awal hingga tamat perlawanan hingga menyukarkan mereka untuk bangkit.

“Lawan memang main dengan sangat bagus hari ini, mereka beri tekanan dari awal hingga akhir,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Beliau turut mengakui corak permainan mereka sudah dibaca pihak lawan, sekali gus menyukarkan usaha melakukan perubahan taktikal.

“Kami rasa mereka sudah baca permainan kami, jadi kami lambat untuk tukar strategi,” katanya.

Nur Izzuddin menegaskan fokus utama mereka kini adalah pemulihan fizikal dan mental sebelum bersaing pada Terbuka Singapura dari 26 hingga 31 Mei ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan