Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah keluar daripada kepompong setinggan, namun begitu kawasan petempatan ini tidak pernah sunyi daripada pelbagai masalah berbangkit sehingga sering dilabelkan kawasan hitam atau lubuk segala masalah sosial dan jenayah.
<
em>Biarpun begitu, bukan semua PPR berdepan masalah tersebut kerana masih ada lagi rumah yang dianggap seperti sarang burung merpati itu telah dijaga dengan baik sehingga mewujudkan persekitaran selesa.
Artikel pertama daripada siri laporan tiga bahagian ini mengupas isu kesejahteraan rumah PPR.
Hampir setiap hari tanpa jemu, Hussin Yahya, 67, akan berdiri di tepi tingkap rumahnya di tingkat dua perumahan pangsa kos rendah sambil melemparkan pandangan ke taman permainan di kawasan perumahan itu di Pandan Utama, Ampang, Selangor.
Mendiami rumah flat 12 tingkat berkenaan sejak 2003, pesara kerajaan ini dapat melihat dengan jelas pelbagai aktiviti riadah penduduk di situ sama ada kanak-kanak, golongan pertengahan umur ataupun warga emas dari tingkap rumahnya itu.
Ada yang sedang asyik bermain badminton manakala di satu sudut lain pula ada juga yang sekadar duduk dan bersembang sementara menunggu anak mereka bermain buaian malah ada juga yang melakukan senaman ringan selain beberapa anak remaja seronok bermain futsal sesama mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) Rumah Pangsa Pandan Utama, Ampang, Hussin Yahya, 67.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
Suasana harmoni yang dinikmati penduduk ketika ini membuatkan bapa kepada lima orang anak ini lega kerana usaha mengubah mentaliti penghuni yang hampir 90 peratus daripada 600 penduduk dari petempatan setinggan di kawasan berdekatan sebelum ini, semakin menampakkan kejayaan.
“Dulu tempat ini tidaklah seperti ini. Sepertimana masalah rumah flat lain, di sini juga berdepan isu sampah dibuang merata-rata dari tingkat atas, dinding penuh dengan kesan contengan budak nakal, berbau busuk, hancing, vandalisme dan sukar mendapat kerjasama penduduk.
“Malah, di sini juga lubuk segala masalah sosial, dadah serta pelbagai jenayah membuatkan penduduk hidup dalam ketakutan bahkan tidak ada yang berani melepak di taman dan melakukan aktiviti riadah seperti sekarang,” katanya kepada Bernama.
Keadaan kawasan blok C, perumahan pangsa Pandan Utama, Ampang yang mempunyai susun atur dan dekorasi menarik.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
Hussin yang merupakan penduduk paling lama di situ berkata keadaan persekitaran perumahan tersebut mula berubah sejak Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) diwujudkan pada 2015 dan penghuni di situ semakin menyedari kepentingan menjaga kawasan rumah dengan baik bagi mewujudkan suasana selesa dan harmoni.
Impaknya semakin ketara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu apabila masing-masing rancak mencantikkan rumah dan kawasan sekitar dengan pelbagai hiasan dinding, menghijaukan persekitaran koridor, lif, taman permainan dan gelanggang futsal.
vid-1
PERUMAHAN ELIT
“Bila kawasan perumahan ini bersih, penduduk mula rasa seronok dan bersemangat malah banyak masalah jenayah dapat dikurangkan apabila kami berhubung erat dengan polis dan pihak berkuasa tempatan. Penduduk juga sudah hidup dengan tenang dan tidak lagi bimbang seperti dahulu,” katanya.
Menurut Hussin yang juga pengerusi JMB perumahan itu berkata ubah suai ini dilakukan sepenuhnya menggunakan duit penduduk dan mereka yang sebelum ini tidak mahu turut serta akhirnya mula berminat mengindahkan perumahan ini selepas teruja dengan pembaharuan dilakukan.
Dekorasi itu yang dilakukan secara berperingkat turut dilengkapi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bertujuan mendisiplinkan mereka yang degil tidak mengikut peraturan yang ditetapkan seperti membuang sampah merata-rata selain memantau aktiviti yang tidak sewajarnya.
Menjejakkan kaki di petempatan tersebut, penulis akui memang benar cantik dan jauh berbeza dengan anggapan sebelum ini terhadap imej rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang sering kali dilabelkan dengan pelbagai isu kebersihan dan juga lubuk masalah sosial serta jenayah.
Antara hiasan di koridor lif perumahan pangsa kos rendah di Pandan Utama, Ampang, yang mempunyai susun atur dan dekorasi menarik. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
Malah, penulis turut berasakan seperti berada di kawasan perumahan elit dengan pelbagai dekorasi menarik seperti pemasangan kertas dinding, reka bentuk hiasan dinding jenis ‘wainscoting’, lantai berjubin, plaster siling serta tempat duduk di koridor lif.
Dalam mencantikkan kawasan perumahan ini, menurut Fazilah Jahalil, 58, tidak ada paksaan kepada penduduk untuk mengindahkan setiap ruang tingkat di kediaman mereka malah kosnya terpulang mengikut bajet masing-masing.
"Sebenarnya, tingkat mak cik antara yang terawal melakukan dekorasi. Ada 18 unit di tingkat 10 dan kami bersama-sama sepakat membuat kutipan seikhlas hati untuk memasang jubin, mengecat dinding dan membuat pelbagai hiasan lain untuk nampak lebih menarik.
"Selepas itu, penghuni tingkat lainpun berminat mencantikkan kawasan mereka mengikut kreativiti masing-masing. Memang lawa, nampak kemas dan sedap mata memandang,” kata suri rumah itu yang turut memuji JMB yang berjaya memastikan kawasan rumah pangsa itu terjaga.
MENTALITI DAN SIKAP
Suasana kesejahteraan yang dinikmati oleh penduduk di pangsa kos rendah Pandan Utama, Ampang Jaya ini sekali gus membuktikan bahawa rumah PPR juga sebenarnya boleh menjadi kediaman selesa sepertimana kediaman bertingkat lain yang menyediakan pelbagai fasiliti seperti kondominium.
Ini sekali gus membuktikan masalah yang sering kali membelenggu petempatan PPR dengan isu sampah, adab kejiranan, penyalahgunaan dadah adalah berkait rapat dengan mentaliti dan sikap penghuni itu sendiri.
Malah, tinjauan penulis di sebuah lagi PPR di Petaling Jaya turut memperlihatkan sikap merupakan punca kepada pelbagai masalah ketidakselesaan dan kebersihan di situ apabila hanya sebahagian tingkat sahaja yang bersih manakala selebihnya masih kotor dan tidak terurus dengan baik.
Di tingkat tiga PPR tersebut misalnya, keadaan persekitaran agak gelap, berbau hancing serta dinding sepanjang koridor diconteng dengan pelbagai perkataan tidak elok.
Sebuah PPR di Petaling Jaya yang mana sebahagian tingkatnya memperlihatkan persekitaran agak gelap serta dinding sepanjang koridor diconteng.-- Nurqalby Mohd Reda/BERNAMA (2023) HAKCIPTA TERPELIHARA
Walau bagaimanapun berbeza pula ketika penulis menjejakkan kaki di tingkat lima yang agak bersih selain kawasan sekitar lif dihiasi kertas dinding.
S.Chowdri yang mengusahakan sebuah kedai runcit di sini turut mengakui mengekalkan kebersihan merupakan cabaran terbesar sekiranya tinggal di kawasan berkepadatan tinggi.
“Mentaliti untuk buang sampah di tempat sepatutnya memang susah hendak diubah terutamanya apabila tinggal di kawasan yang mempunyai ramai penduduk. Walaupun ada tong sampah, masih ada yang lebih suka buang sampah merata tempat,” katanya.
Hakikatnya, isu yang membelenggu kawasan PPR seperti vandalisme, membuang sampah dari tingkat atas sehingga pernah merekodkan kes kematian, adab kejiranan turut mendapat perhatian Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming apabila melaksanakan peraturan baharu bagi mereka yang bakal memiliki rumah PPR.
Bermula tahun ini, mereka perlu menghadiri kursus kesedaran sivik sebelum mendapat kunci rumah PPR yang bertujuan memberi kesedaran, pemahaman dan tanggungjawab hidup berkomuniti serta adab kejiranan termasuklah menjaga kebersihan.
Dalam meningkatkan lagi kesejahteraan perumahan PPR, fokus baharu kementerian itu juga turut memberi penekanan semua projek PPR baharu perlu menepati lima ciri, iaitu berdaya huni, senang dihubungi, mampan, kualiti baik dan komuniti bagus dalam menangani isu ketidakselesaan yang menghimpit penduduk di situ.
Mengulas mengenainya, Felow Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (Masa) Dr Madeline Berma berkata walaupun kursus kesedaran sivik merupakan satu langkah yang baik, beliau melihat pelbagai aspek perlu diberikan penekanan dalam meningkatkan daya huni rumah PPR.
Sebahagian besar projek kediaman PPR yang dibangunkan lebih 20 tahun lalu tidak lagi berada dalam kondisi yang baik dan dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada kualiti hidup penduduk.
“Setuju mereka diberi kursus tetapi saya melihat pendekatan itu agak kurang berkesan kerana kita seolah-olah menyalahkan penduduk sahaja dengan situasi yang berlaku walhal menangani isu ini melibatkan pelbagai aspek termasuklah dari sudut kemudahan, penyelenggaraan dan daya huni rumah PPR.
“Berdasarkan kajian, saya dapati rumah PPR tidak berdaya huni. Jadi, untuk mendidik masyarakat, tidak hanya dengan beri kursus sahaja tetapi peranan persatuan penduduk dan JMB sangat penting dan mungkin boleh mewajibkan gotong-royong sebulan sekali untuk mereka menjaga kawasan,” katanya.
Konsep perumahan sosial yang dibawakan PPR berkembang daripada idea perumahan awam yang diperkenalkan pada 1970-an oleh kerajaan untuk penempatan semula setinggan bagi memenuhi keperluan tempat kediaman golongan berpendapatan rendah yang dilaksanakan oleh Jabatan Perumahan Negara dan terdiri daripada dua kategori iaitu PPR disewa dan PPR dimiliki.