P
rojek Program Perumahan Rakyat (PPR) bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah keluar daripada kepompong setinggan, namun kawasan petempatan ini tidak pernah sunyi dengan pelbagai masalah berbangkit sehingga sering dilabelkan kawasan hitam atau lubuk segala masalah sosial dan jenayah.
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menyedari polemik berkenaan komited memberi fokus dalam meningkatkan daya huni PPR dan ini yang dikupas dalam bahagian akhir mengenainya.
Hampir lima dekad kerajaan mewujudkan Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi membantu masyarakat miskin setinggan memiliki rumah mampu milik, namun sehingga kini polemik kesejahteraan komuniti perumahan ini masih belum ada titik noktahnya.
Sering kali dibelenggu dengan pelbagai masalah sosial, jenayah, kebersihan mahupun terbaharu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak penghuni di situ, sehingga mencetuskan persoalan apakah mampu segala isu yang berbangkit dapat ditangani untuk mewujudkan kehidupan sejahtera buat penghuninya?
Mungkin ada berpandangan jalan ke arah itu sukar dan itu juga yang dinyatakan oleh beberapa pakar ketika ditemu ramah Bernama apatah lagi pertambahan penghuni PPR dengan Selangor dan Lembah Klang sahaja, jumlahnya kini mencecah lebih 150,000 orang.
Namun, ini bukanlah satu yang mustahil sekiranya polemik berbangkit itu dilihat secara bersepadu dan turut melibatkan kerjasama antara kerajaan dengan swasta melalui, antaranya, tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan penguatkuasaan.
Mengulas mengenai perkara ini, pensyarah kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Velan Kunjuraman berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan bekerjasama dengan swasta dalam mewujudkan perumahan PPR yang lebih berdaya huni.
“Sudah banyak usaha dilakukan kerajaan dalam membantu menyediakan kehidupan sejahtera masyarakat miskin menerusi PPR termasuklah mengubah mentaliti mereka, meningkatkan kesedaran sivik dan sebagainya, namun itu masih belum mencukupi.
“Kerana itu, saya melihat untuk mewujudkan PPR berdaya huni bukan sahaja penting wujud kerjasama penduduk dengan kerajaan tetapi juga keperluan memperluaskan kerjasama dengan swasta melalui CSR seperti kemudahan fasiliti dan seterusnya mengurangkan kos terbeban kerajaan,” katanya kepada Bernama.
KOS TINGGI
Kerajaan hakikatnya memperuntukkan kos yang tinggi bukan sahaja dalam menyediakan rumah PPR bahkan menambah baik serta menyelenggara bangunan PPR, malah di bawah Belanjawan 2023, sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mewujudkan kehidupan selesa PPR.
KPKT dalam jawapan bertulis kepada Bernama berkata, kos pembaikan dan penyelenggaraan bangunan PPR adalah tinggi dan bergantung kepada jenis kerosakannya seperti pendawaian elektrik, pembaikan/pengantian lif dan sebagainya.
Belanjawan 2023, sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada KPKT bagi mewujudkan kehidupan selesa PPR.
Misalnya, untuk penyelenggaraan serta pembaikan PPR Lembah Subang 1 (Taman Putra Damai) sahaja, sebanyak RM30.6 juta diperuntukkan bagi tempoh 2017 sehingga Jun 2023.
Sementara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi menyelenggara serta membaik pulih perumahan awam berstrata di seluruh negara yang turut merangkumi PPR bagi pelaksanaan dari tahun 2021 hingga 2025 melalui Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP).
Biarpun begitu, peruntukan PPP tidak melibatkan perumahan awam berstrata di Lembah Klang kerana tertakluk di bawah tanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan menurut KPKT, peruntukan bagi negeri di bawah PPP untuk Selangor ialah sebanyak RM2.5 juta, dari tahun 2021 hingga 2023.
Dalam pada itu, sebanyak 31 buah PPR dengan 40,046 unit siap dibina di sekitar Lembah Klang dan Selangor sehingga 30 Jun 2023, dan daripada jumlah itu, 26 buah projek PPR adalah di bawah seliaan DBKL, satu projek kerajaan Selangor dan empat di bawah seliaan KPKT.
"Secara keseluruhannya, sebanyak 39,041 unit diduduki oleh peserta PPR dengan anggaran penghuni PPR adalah seramai 156,164 orang berdasarkan status unit rumah yang diduduki pada masa ini.
"Selain itu, terdapat dua buah PPR dengan 904 unit dalam pembinaan di Selangor. PPR tersebut adalah PPR Sg Yu, Tanjong Karang sebanyak 500 unit dan PPR Ampar Tenang, Dengkil (404 unit)," kata KPKT.
FOKUS KPKT
Biarpun berdepan pelbagai cabaran, KPKT komited meningkatkan daya huni PPR apabila menterinya Nga Kor Ming sebelum ini dipetik berkata semua projek PPR baharu perlu menepati lima ciri iaitu berdaya huni, senang dihubungi, mampan, kualiti baik dan komuniti bagus.
Berkaitan isu kebersihan di penempatan berkenaan, KPKT berkata pihaknya melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) melantik ejen pengurusan yang bertanggungjawab mengurus kebersihan bangunan dan landskap, perkhidmatan mengangkat sampah pukal serta kawalan keselamatan.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming
Namun begitu, isu kebersihan, vandalisme, menurut kementerian, masih lagi terus menjadi polemik di penempatan tersebut berikutan sikap segelintir penduduk di situ yang enggan, berdegil dan tidak bertanggungjawab untuk turut sama memastikan persekitaran di situ selesa.
Untuk menangani perkara ini, KPKT memperkenalkan peraturan baharu iaitu bakal penghuni menghadiri kursus kesedaran sivik sebelum mendapat kunci rumah PPR bermula tahun ini. Ia bertujuan memberi kesedaran, pemahaman dan tanggungjawab hidup berkomuniti serta adab kejiranan termasuklah menjaga kebersihan.
"Kursus ini dilaksanakan di PPR baharu bermula dengan PPR Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah pada 15 Mac 2023 dan seterusnya diikuti PPR Machang, Kelantan, PPR Kuah dan Ulu Melaka, Langkawi, Kedah dan yang terkini di PPR Ladang Tanah Merah, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 19 Jun lepas.
“Matlamat kursus adalah memberi kesedaran serta menerapkan rasa tanggungjawab kepada setiap penghuni PPR akan kepentingan menjaga kebersihan dan kesejahteraan sepanjang menduduki PPR serta impak kegagalan pembayaran sewa kepada kesejahteraan penduduk di PPR,” kata KPKT.
ZAHIR PENGHARGAAN
Biarpun begitu, KPKT menyedari bukan semua PPR berhadapan dengan isu kebersihan serta masalah sosial, yang sering kali membelenggu perumahan ini kerana ada persatuan penduduknya komited memastikan persekitaran mereka bersih, terjaga dan selesa.
Malah, tinjauan Bernama baru-baru ini mendapati PPR di Ampang Jaya (Rumah Pangsa Pandan Utama) jauh berbeza dengan situasi yang sering kali dilihat di penempatan jenis berkenaan apabila penduduknya berganding bahu menghiasi penempatan mereka dengan pelbagai dekorasi menarik.
"KPKT berhasrat untuk mengurniakan surat penghargaan kepada wakil penduduk bagi mana-mana PPR yang bertanggungjawab menjaga baik perumahan PPR sebagai menghargai usaha dan kerjasama semua penduduk.
"Jabatan ini sentiasa menyokong usaha atau inisiatif yang dijalankan persatuan penduduk atau Badan Pengurusan Bersama (JMB) berhubung perkara ini. Jabatan ini turut maklum bahawa terdapat perumahan PPR atau perumahan kos rendah lain yang mempunyai kekurangan sumber kewangan untuk membuat pembaikan atau penyelenggaraan bangunan," kata KPKT.
Dalam hal ini, menurut kementerian berkenaan, pihak pengurusan PPR atau kos rendah yang lain boleh memohon peruntukan tertentu di bawah Program Penyelenggaraan Perumahan (Awam) bagi tujuan penyelenggaraan seperti mengecat semula bangunan dan penyelenggaraan lain yang berkaitan.
KELANSUNGAN PENAMBAHBAIKAN PPR
Tidak sekadar itu, malah projek PPR yang bermula sejak tahun 1970-an dengan keluasan ketika itu sekitar 198 meter persegi dengan satu atau dua bilik serta kemudahan fasiliti terhad turut diambil perhatian kerajaan apabila keluasannya ditingkatkan di bawah RMK-9.
Keluasannya ditingkatkan kepada 213 meter persegi dan kemudiannya 228 persegi pada tahun 2022 yang bertujuan meningkatkan daya huni penduduk PPR sekali gus memenuhi syarat minimum yang ditetapkan di bawah Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984.
Keluasan PPR ditingkatkan kepada 213 meter (700 kaki) persegi dan kemudiannya 228 (750 kaki) persegi pada tahun 2022 yang bertujuan meningkatkan daya huni penduduk.
“Perbandingan turut dibuat dengan skim perumahan lain di bawah skim perumahan bagi kumpulan pendapatan B40, (mendapati) keluasan 228 meter persegi adalah yang terbesar ketika ini.
“Skim perumahan sosial yang dilaksanakan di luar negara juga menunjukkan keluasan rumah dalam julat lingkungan 97 meter hingga 198 meter persegi iaitu lebih rendah berbanding 228 meter persegi,’’ kata KPKT.
Selain aspek keluasan, penambahbaikan lain yang turut dilaksanakan kerajaan melibatkan reka bentuk serta susun atur bagi meningkatkan keselesaan penghuni PPR termasuk menyediakan kemudahan seperti surau dan tadika.
Mengulas lanjut, kementerian berkata, pembangunan PPR akan menyediakan pelbagai kemudahan lain dari masa ke semasa seperti melaksanakan penggunaan teknologi hijau antaranya panel solar, Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH) serta peralatan dan perkakasan cekap tenaga dan air.
DASAR KOMUNITI NEGARA
Selain itu, KPKT turut menggubal Dasar Komuniti Negara (DKomN) bertujuan menangani isu perumahan berbangkit di peringkat komuniti setempat khususnya di kawasan perumahan strata di seluruh negara.
Pelaksanaan dasar itu diharap dapat melahirkan komuniti yang menitikberatkan aspek kesihatan dan keselamatan, mempunyai rasa pemilikan sense of ownership, semangat kejiranan dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
Dasar Komuniti Negara sebelum ini dirangka bagi tujuan membangunkan inisiatif komuniti bagi mewujudkan persekitaran berkualiti, memperkasa aktiviti komuniti untuk pengurusan dan penyelenggaraan bersama serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam perancangan pembangunan setempat.
Ia kemudian digubal untuk memastikan kesejahteraan kehidupan komuniti yang juga menjadi matlamat Dasar Perumahan Negara (2018-2025) bagi memastikan pelaksanaan dasar berkenaan bersifat yang holistik dan bersepadu.
Menerusi DKomN juga, sebanyak 19 Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (PSMK) ditubuhkan di PPR terpilih seluruh negara. PSMK berperanan untuk melaksanakan program mendaya upaya komuniti PPR termasuk program ke arah pembangunan modal insan, kebersihan persekitaran serta penjagaan kesihatan fizikal dan mental.
KPKT sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa setiap rakyat, termasuk golongan yang memerlukan sokongan khas, mempunyai akses kepada kediaman yang selesa dan bersesuaian dengan keperluan mereka.
“Pada tahun lepas (2022) sebanyak 657 program PSMK melibatkan 61,905 peserta diadakan di PPR seluruh negara.
“Dengan pelaksanaan pelbagai program mendaya upaya komuniti dilihat dapat membantu individu yang memerlukan sekali gus mengurangkan perasaan takut, sedih dan tertekan yang dihadapi mereka," katanya.
MESRA KANAK-KANAK
Selain itu, KPKT melalui PLANMalaysia bercadang dan sedang merangka Panduan Inisiatif Perancangan ke arah Persekitaran Mesra Kanak-kanak untuk dilaksanakan di perumahan itu selaras dengan saranan Kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Ia susulan kajian UNICEF baru-baru ini mendapati lebih 12.3 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 17 tahun yang mendiami PPR di Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung untuk membunuh diri.
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata, kajian itu dilaksanakan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Tingkah Laku Kesihatan dijalankan ke atas 1,578 kanak-kanak dan remaja di 37 PPR di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Kajian berkenaan menunjukkan kebanyakan golongan ini mengalami kesihatan mental akibat masalah ekonomi dihadapi selepas penularan COVID-19 dan disebabkan ruang tempat tinggal yang kurang selesa.
“Justeru KPKT akan memberi fokus kepada enam asas persekitaran mesra kanak-kanak iaitu akses alam semula jadi, hubungan sosial, bermain, aktif mobiliti, rasa kepunyaan dan penglibatan dalam membuat keputusan khususnya di kediaman berkepadatan tinggi termasuk kawasan PPR.
“Di samping itu, melalui Garis Panduan Perancangan Kawasan Lapang yang disediakan pada tahun 2021, kementerian juga sentiasa komited dalam melaksanakan perancangan kawasan lapang yang berkualiti dengan syarat penyediaan kawasan lapang berkeluasan 10 peratus daripada jumlah kawasan pembangunan perumahan, termasuk perumahan strata,’’ katanya.
Dalam konteks itu juga, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan membuat kawalan perancangan berpandukan kepada garis panduan perancangan tersebut bagi merealisasikan persekitaran PPR yang berkualiti tinggi.
“Perumahan PPR disediakan bukan sekadar sebagai tempat kediaman kepada golongan berpendapatan rendah tetapi juga sebagai pemboleh untuk isi rumah menyertai aktiviti ekonomi dan kemasyarakatan.
“Kementerian ini sentiasa menyarankan kerajaan negeri untuk mencadangkan tapak pembangunan perumahan PPR yang mengambil kira akses kepada pengangkutan, pekerjaan, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, kedai, tempat beriadah atau bersosial dan kemudahan lain supaya isi rumah di PPR dapat mempertingkatkan sumber rezeki dan kos pengangkutan tidak membebankan perbelanjaan harian mereka,’’ katanya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff