BERITA TERKINI   Unit ITMAX System memperoleh Perubahan Kerja (VO) bernilai RM603.5 juta daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi meningkatkan keupayaan bandar pintar generasi baharu | Harga runcit RON95 & RON97 turun 25 sen, diesel Semenanjung turun 75 sen bagi 16-22 April - MOF | Unit Tuju Setia peroleh kontrak kerja-kerja pembinaan daripada Sime Darby Property bernilai RM359.3 juta | 80 warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan terbabit penipuan dalam talian pada 7 April | Lawatan kerja Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah ke premis KL-Kepong Oleomas di Selangor Sabtu ini tinjau proses pengadunan biodiesel - Fahmi Fadzil | 

Niaga Hadapan Emas Kekal Tidak Berubah Minggu Depan

Oleh Siti Noor Afera Abu

 

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan tidak banyak berubah minggu depan menjelang pengeluaran data ekonomi Amerika Syarikat (AS) semasa minggu berkenaan, kata seorang penganalisis. 

Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI Stephen Innes berkata naratif pasaran masih bersandarkan kepada kenaikan emas berbanding keadaan dolar US yang agak lemah, didorong oleh kitaran pemotongan kadar Rizab Persekutuan AS yang berterusan.

“Namun, saya melihat momentum itu sedikit perlahan berikutan data ekonomi AS yang masih terus bertahan, menunjukkan pasaran mungkin meletakkan harga dalam pemotongan yang agak banyak.

"Anggaran berlebihan ini mungkin dicerminkan dalam harga emas, yang mana pasaran mengambil kesempatan ke atas sentimen dolar yang negatif," katanya kepada Bernama.

Selain itu, dengan tuntutan pengangguran mingguan yang kelihatan stabil, Innes berpendapat jangkaan kenaikan emas mungkin akan mengecil semula sebelum data NFP minggu depan.

Di rantau ini, import emas bersih China pada Ogos melalui Hong Kong adalah yang terendah dalam tempoh lebih dua tahun, mencadangkan penjual tempatan meramalkan permintaan akan lengang.

Innes menjelaskan ini boleh dikaitkan dengan usaha penuh kerajaan China mengenai rangsangan, yang akan mengukuhkan mata wang tempatan.

"Akibatnya, pelabur runcit tidak perlu risau dengan keperluan bagi melindung nilai mata wang yang lebih lemah melalui pembelian emas," tambahnya.

Dari Jumaat ke Jumaat, bulan semerta September 2024 meningkat kepada US$2,661.60 setiap auns troy berbanding US$2,614.20 setiap auns troy yang disaksikan pada minggu sebelum ini.

Sementara itu, Oktober 2024, November 2024, Disember 2024, Februari 2025 dan April 2025 semuanya lebih tinggi pada US$2,675.10 daripada US$2,627.00 setiap auns troy.

Jumlah dagangan menokok kepada 117 lot berbanding 82, manakala kepentingan terbuka melebar kepada 71 kontrak daripada 44 sebelumnya.

Harga emas fizikal berada pada US$2,663.75 setiap auns troy, berdasarkan kepada penetapan petang London Bullion Market Association pada 26 Sept.

-- BERNAMA