BERITA TERKINI   MAA optimis jualan EV akan meningkat pada separuh kedua 2025, didorong oleh pelancaran model baharu terutamanya pada suku keempat | Indeks Keselamatan Sempadan Negara diluncur hari ini, mekanisme ukuran tahunan tahap keselamatan sempadan negara - Saifuddin Nasution | Kejayaan tumpaskan Gerakan Militan Radikal Bangladesh bukti tahap risikan PDRM di tahap terbaik -- Saifuddin Nasution | PDRM kini terajui operasi NSRC berkuat kuasa serta merta, perkukuh tindak balas penipuan kewangan dalam talian -- Saifuddin Nasution | 

DHL Express Umum Kenaikan Harga 6.9 Peratus Pada 2025

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan ekspres antarabangsa, DHL Express hari ini mengumumkan purata kenaikan harga sebanyak 6.9 peratus pada 2025, berkuat kuasa 1 Januari.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei Julian Neo berkata syarikat kekal komited untuk memberikan perkhidmatan yang boleh dipercayai di peringkat global walaupun mendepani cabaran geopolitik yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan.

“Dengan pelarasan harga tahunan ini, kami dapat terus melabur dalam rangkaian kami untuk meningkatkan daya tahan dan kebolehsuaiannya, memastikan sokongan yang konsisten untuk perniagaan pelanggan kami tanpa mengambil kira keadaan luaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut DHL Express, harganya disemak setiap tahun, mengambil kira inflasi, turun naik mata wang dan kos pentadbiran berkaitan dengan langkah-langkah pengawalseliaan dan keselamatan.

Katanya pihak berkuasa nasional dan antarabangsa sentiasa mengemas kini langkah-langkah ini di lebih 220 negara dan wilayah yang ditawarkan perkhidmatan.

-- BERNAMA