Heitech Padu Tidak Tahu Punca Harga Saham Melonjak

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Heitech Padu Bhd tidak mengetahui apa-apa punca yang menyebabkan kenaikan mendadak dalam harga saham dan volum dagangannya, kata syarikat itu sebagai respons kepada pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) daripada Bursa Malaysia Securities Bhd.

Katanya, tidak ada sebarang perkembangan korporat yang tidak pernah diumumkan sebelum ini.

“Kami juga tidak menyedari sebarang khabar angin atau laporan mengenai perniagaan dan hal ehwal syarikat yang mungkin menyumbang kepada aktiviti dagangan.

“Kami juga tidak mengetahui sebarang penjelasan yang mungkin untuk menjelaskan aktiviti dagangan,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Heitech Padu menambah bahawa ia telah mematuhi Keperluan Penyenaraian Bursa Securities, khususnya Perenggan 9.03, berkaitan obligasi pendedahan segera.

Hari ini, harga saham syarikat ditutup pada RM4.10, meningkat sebanyak 45 sen atau 12.33 peratus, dengan 5.45 juta saham diniagakan. 

Harga saham dibuka pada RM3.64 dan bergerak antara RM3.55 dan RM4.21.

-- BERNAMA