BERITA TERKINI   Liga Super: Imigresen FC 0-3 JDT | RUU Pekerja Gig 2025 lulus, bukti komitmen Kerajaan MADANI pastikan pekerja Gig terima perlindungan sosial - TPM Ahmad Zahid | Nilai ambang persetujuan dalam RUU Pembaharuan Semula Bandar akan dipinda selepas ambil kira pandangan pelbagai pihak - Nga | Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 | PM Anwar suarakan kebimbangan terhadap kemerosotan kepercayaan dan persefahaman dalam kalangan pemimpin politik mengenai makna sebenar keadilan dan kemanusiaan | 

RM17.9 Bilion Pelaburan Dari China Diluluskan Dalam Sektor Perkilangan - MITI

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pelaburan bernilai RM17.9 bilion dari China telah diluluskan dalam sektor perkilangan di bawah seliaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh 2023 hingga separuh pertama 2024.

Pelaburan itu melibatkan 110 projek yang diluluskan dan akan menjana 14,343 peluang pekerjaan baharu.

“Daripada jumlah tersebut, 54 projek (49.1 peratus) dengan pelaburan RM3.8 bilion telah direalisasikan, mewujudkan 5,303 pekerjaan.

“Ini merupakan pencapaian yang memberangsangkan memandangkan pelaksanaan projek perkilangan yang diluluskan lazimnya mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk direalisasikan, bergantung kepada skala projek dan keadaan ekonomi semasa,” menurut MITI dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MITI menjelaskan sedemikian bagi menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang meminta MITI memaklumkan jumlah pelaburan yang telah direalisasikan setakat ini daripada anggaran pelaburan RM170 bilion dalam misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke China pada tahun lepas, serta butiran pelaburan itu.

-- BERNAMA