Pasaran Getah Malaysia Ditutup Lebih Tinggi Untuk Hari Kedua Berturut-turut
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi untuk hari kedua berturut-turut hari ini, menjejaki momentum menaik dalam pasaran niaga hadapan getah serantau.
Kebimbangan yang berterusan terhadap pengeluaran getah asli yang terhad akibat musim hujan selain prospek rangsangan fiskal yang lebih banyak daripada China telah meningkatkan sentimen pasaran, seorang peniaga memberitahu Bernama,
Dilaporkan China mungkin akan menambah enam trilion yuan (US$850 bilion) daripada bon perbendaharaan khas dalam tempoh tiga tahun untuk membantu meningkatkan ekonominya yang lembap melalui rangsangan fiskal yang diperluaskan.
Bagaimanapun, peniaga itu berkata keuntungan selanjutnya dihadkan oleh penurunan harga minyak mentah dan jangkaan pemotongan kadar faedah Amerika Syarikat yang lebih kecil berikutan perang yang berterusan di Timur Tengah.
Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga SMR 20 naik 3.5 sen kepada 867.5 sen sekilogram manakala lateks pukal menoko setengah sen kepada 754 sen sekilogram.
Pada 5 petang, SMR 20 berada pada 877 sen sekilogram manakala lateks pukal adalah pada 756 sen sekilogram.
-- BERNAMA