BERITA TERKINI   Letusan Gunung Dukono: Tiada rakyat Malaysia dilapor terlibat - Kedutaan Malaysia di Jakarta | Enam perubahan penempatan, pelantikan baharu babit pengurusan tertinggi perkhidmatan awam berkuat kuasa 11 Mei - KSN | Kerajaan pastikan bekalan minyak dan diesel lebih teratur lepas langkah proaktif bersama Petronas - PM Anwar | Operasi pembenihan awan akan dijalankan di Kedah dan Perlis pada 10-12 Mei serta 17-19 Mei - Arthur | 20 pendaki terkandas susulan letusan Gunung Dukono di Indonesia, operasi pemindahan sedang dijalankan - Basarnas | 

Kerajaan Terus Perkemas Kerangka Pembangunan ECER - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan terus memperkemas kerangka pembangunan lima tahun akan datang bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) supaya usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan menarik lebih banyak pelaburan ke wilayah Pantai Timur dapat direalisasikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Bilangan 2 Tahun 2024 pada petang tadi.

“Antara teras ekonomi utama sebagai pemacu pertumbuhan yang dibincangkan termasuklah industri terkait Bakul Makanan, pelancongan, pembuatan (hard-to-abate) dan industri marin,” kata beliau menerusi hantaran di laman rasmi beliau di Facebook pada Selasa.

Beliau berkata peranan sektor logistik dan tenaga boleh baharu sebagai pemboleh daya bagi ECER turut dibincangkan dalam mesyuarat itu.

“Saya dimaklumkan, bagi tempoh tiga suku pertama tahun ini, ECER berjaya mencatatkan sebanyak RM13.3 bilion pelaburan direalisasikan berbanding sasaran RM10 bilion,” kata beliau.

Anwar berkata jumlah itu melibatkan 21 projek yang berupaya mewujudkan 8,700 peluang pekerjaan dalam pelbagai industri termasuk pembuatan keluli, petrokimia, produk biojisim dan pelancongan.

“Kejayaan ini selari dengan hasrat Kerajaan MADANI yang sentiasa menekankan kepentingan pemantauan dan pemudah cara pelaksanaan bagi pelaburan-pelaburan dari dalam dan luar negara yang diumumkan,” kata beliau.

Perdana Menteri menjelaskan mesyuarat itu turut membincangkan perancangan pembangunan bagi ECER selari dengan kerangka penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang sedang dilaksanakan.

-- BERNAMA