BERITA TERKINI   CBH Engineering raih kontrak mereka dan membina sistem bekalan elektrik untuk pencawang pengguna cadangan pusat data di Selangor, bernilai RM171.99 juta | Sistem Alamat Nasional mampu jana limpahan ekonomi RM2 billion, wujud lebih 2,000 pekerjaan dalam lima tahun - Fahmi Fadzil | Bangkai helikopter milik PDRM yang yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah Khamis lepas, berjaya dinaikkan sekitar jam 11 pagi ini. | iCents mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 sen, premium lima sen daripada harga IPO 24 sen, dengan 13.59 juta saham bertukar tangan | 

Ringgit Dibuka Sedikit Tinggi Berbanding Dolar AS Didorong Pengurangan Kadar Faedah Global

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, susulan pengurangan kadar faedah di peringkat global semakin memperoleh momentum dan Rizab Persekutuan AS dilihat teragak-agak untuk mengikuti trend itu. 

Dalam keadaan itu, Indeks Dolar AS meningkat 0.2 peratus kepada 103.47 mata.

Pada pukul 8.01 pagi, ringgit naik kepada 4.2940/3100 berbanding dolar AS daripada 4.2945/2995 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata European Central Bank dijangka menurunkan kadar dasarnya sebanyak 25 mata asas berikutan inflasi susut di bawah sasaran dua peratus dan sentimen perniagaan dalam sektor pembuatan yang lemah.

Beliau berkata di peringkat serantau, Bank of Thailand membuat pengurangan 25 mata asas secara mengejut, susulan langkah serupa dilaksanakan oleh Indonesia dan Filipina, menandakan kadar faedah global mungkin telah mencecah paras tertingginya.

“Bagaimanapun, Rizab Persekutuan AS mungkin menangguhkan pelonggaran selanjutnya, memandangkan daya tahan ekonomi AS memberi kelebihan kepada dolar.

“Ringgit diunjurkan kekal stabil kerana Bank Negara Malaysia mungkin mengambil pendekatan berbeza, (disebabkan) kebimbangan mengenai risiko inflasi yang berterusan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semasa pembukaan dagangan, ringgit lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6624/6798 daripada 4.6780/6834 ketika ditutup  pada Rabu, dan naik berbanding pound British kepada 5.5766/5974 daripada 5.5889/5954.

Ringgit turut lebih stabil berbanding yen Jepun kepada 2.8713/8822 dari 2.8772/8807.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang domestik melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.2694/2818 daripada 3.2800/2841 ketika ditutup semalam, dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9279/9858 daripada 12.9329/9546.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 276.8/278.0 daripada 276.8/277.3 semalam dan hampir mendatar berbanding peso Filipina kepada 7.43/7.46 daripada 7.43/7.45.

-- BERNAMA